Kucing saya adalah pencuri

Kucing saya adalah pencuri

Seorang wanita terpaksa meletakkan papan tanda amaran memberi peringatan kepada jirannya mengenai tingkah laku kucingnya, Esme yang suka mencuri.

Papan tanda amaran yang diletakkan Kate Felmet turut menjadi tular di media sosial. (Gambar Twitter)

Akibat tidak tahan dengan sikap nakal kucingnya, seorang wanita terpaksa memaklumkan jiran bahawa haiwannya itu adalah ‘si pencuri’ menerusi satu papan tanda yang dipacak di rumahnya di Oregon, Amerika Syarikat.

Kate Felmet meletakkan papan tanda amaran yang tertulis ‘Kucing Saya Adalah Pencuri’ bersama beberapa barang curi yang diambil kucing berkenaan sambil meminta jiran menuntut kembali barang mereka.

Gambar papan tanda melucukan yang terpampang lukisan gambar kucing hitam bernama Esme itu kemudiannya menjadi tular di media sosial selepas dikongsi oleh penduduk di Beaverton.

Menurut Felmet, papan tanda terbabit sudah diletakkan sejak lebih sebulan lalu bagi membantu jirannya mencari barangan mereka yang dipercayai hilang termasuk sarung tangan, pelitup muka serta pad lutut.

“Setiap kali ia membawa pulang barangan, Esme akan masuk melalui pintu belakang sambil mengiau seolah-olah memberitahu dia membawa sesuatu untuk saya,” katanya.

Sejak menempatkan papan tanda itu, banyak barangan yang dicuri oleh kucing itu berjaya dipulangkan semula kepada semua pemiliknya.

Felmet menjelaskan, dia menyedari kucingnya mempunyai tabiat pelik yang suka mencuri sejak 2019 lagi.

Katanya, walaupun perbuatan itu dianggap menghiburkan di kalangan jiran namun semakin lama dia berasa semakin janggal untuk bertemu mereka selepas kucingnya mencuri objek sama beberapa kali.

Sebagai contoh, Esme dikatakan mencuri pad lutut daripada garaj milik sebuah keluarga sama sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, menurut laman sesawang jagaan haiwan, Vetstreet.com, tingkah laku Esme itu bukan sesuatu yang pelik kerana kucing terbabit mungkin memerlukan perhatian daripada tuannya.

“Kucing mungkin akan mencuri kerana ingin bermain atau mencari perhatian. Ia juga akan melakukannya secara senyap-senyap jika pernah ditegur melakukan perbuatan itu,” kata laman sesawang itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.