Kucing nakal ‘kerjakan’ rumah sampai banjir

Kucing nakal ‘kerjakan’ rumah sampai banjir

Pengguna TikTok berkongsi kisah kucing nakalnya yang menyebabkan dapur rumahnya dilimpahi air sebanyak dua kali.

Rakaman video kisah kucing nakal milik @zul_taylor12 di TikTok.

Melihat keletah comel kucing kesayangan setiap hari pasti membuatkan pemiliknya berasa tenang dan terhibur, sekaligus dapat melupakan seketika segala masalah yang merungsingkan.

Namun, lain pula yang dihadapi oleh seorang lelaki ini apabila sekumpulan kucing baka Russian Blue yang dipeliharanya mengundang sakit kepala selepas menyebabkan rumahnya dilimpahi air sebanyak dua kali.

Kejadian itu dikongsi pengguna TikTok dari Singapura, @zul_taylor12 baru-baru ini yang tergamam melihat perbuatan nakal kucingnya sebaik terjaga daripada tidur.

Keletah lucu yang ditunjukkan haiwan comel terbabit menyebabkan video berkenaan menjadi tular di media sosial dan setakat ini sudah ditonton sebanyak 127,500 kali.

Walaupun dimarahi, beberapa ekor kucing berwarna kelabu itu tetap kelihatan selamba sambil bermain di sebahagian ruangan dapur yang banjir.

“Aku baru bangun tidur, rumah sudah banjir. Baru saja ingin ke tempat kerja, dia boleh bermain air di situ.

“Aku terdengar siapa yang pulas paip air. Ini sudah kali kedua, seperti kolam renang. Aku tidak mampu berkata apa-apa,” katanya.

Rata-rata netizen terhibur melihat rakaman video itu selain tertarik dengan kecomelan setiap kucingnya.

“Saya tidak dapat berhenti ketawa melihat video ini dan menontonnya berulang kali,” kata seorang netizen.

Bagaimanapun, kenakalan haiwan peliharaannya tidak berakhir di situ apabila dia memuat naik sebuah lagi rakaman video menunjukkan keadaan rumah yang bersepah dengan tisu.

“Aku keluar bilik, terkejut tengok kucing buat apa. Dia main tisu. Sudahlah haritu dia main air, hari ini main tisu pula,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.