
Walaupun hasil seni yang dihasilkan Chua begitu indah, namun peminat lukisan masih belum berpeluang untuk melihatnya sendiri beberapa tahun selepas itu.
Kebijaksanaannya menggunakan warna terang berjaya menyerlahkan lagi karya potret dihasilkan dan dia menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mencurah sepenuh perhatian terhadap lukisan berkenaan.
Berdasarkan ketelitiannya, ramai mungkin menganggap bahawa Chua adalah seorang pelukis berpengalaman tetapi dia sebenarnya sudah lama meninggalkan dunia seni itu.
Bagaimanapun, sejak ibunya jatuh sakit, Chua kembali berkarya dan 40 tahun kemudian, cintanya terhadap seni lukisan kembali mekar.

Ketika zaman persekolahan, seni adalah segala-galanya bagi Chua dan namanya sering menjadi sebutan oleh mereka yang kagum dengan hasil lukisannya.
Dia dikenali sebagai salah seorang pelukis hebat di Methodist Girls School Melaka dan setiap kali mula melukis, sekumpulan guru dan pelajar akan mengerumuninya dengan rasa penuh kagum.
Malangnya, selepas tamat persekolahan, dia tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi disebabkan ibu bapanya kurang berkemampuan dan perlu menanggung tujuh adik-beradik yang lain.
Dia tetap meneruskan aktiviti melukis dan membuat lakaran ketika berusia 20-an namun terpaksa melupakannya selepas berumah tangga dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang cahayamata.
Chua tidak pernah terfikir untuk kembali berkarya terutama ketika usianya semakin meningkat namun pemergian orang tersayang menyebabkannya berubah fikiran.

“Ayah meninggal dunia pada 2012 dan ibu tidak mahu meninggalkan rumahnya walaupun dia semakin berusia dan sering jatuh sakit.
“Saya mengambil masa agak lama untuk memujuknya tinggal bersama,” katanya sambil menjelaskan, ibunya yang berusia lewat 70an tinggal bersendirian selama tiga tahun.
Sepanjang tempoh itu, Chua terpaksa berulang alik dari kediamannya di Bangsar ke rumah keluarganya di Kota Kemuning sebanyak empat kali seminggu.
Setiap kali bertemu ibu, dia semakin risau dengan keadaannya yang uzur.

“Keadaan kesihatannya agak teruk kerana mengalami dementia, parkinson dan masalah tulang belakang yang menyebabkan dia sukar bergerak.
“Selepas kami tinggal bersama, saya sering menemaninya yang berkerusi roda untuk mengambil angin di taman,” katanya.
Berbanding sebelum ini dia hanya terlantar di katil sambil menonton televisyen, ibunya semakin biasa dengan suasana baru di rumah anaknya itu dan dia juga memberi peluang untuk Chua menjaga dengan lebih baik.

“Saya sentiasa duduk bersembang di sebelahnya dan terfikir mengapa tidak menggunakan masa itu untuk melukis.
“Saya masih lagi menyimpan berus dan cat yang dihadiahkan ketika masih kanak-kanak dan ia adalah galakan untuk terus melukis,” katanya.
Selepas beberapa tahun meneruskan semula aktiviti itu, dia kembali buntu dan hanya mampu merenung kanvas lukisan yang kosong.
Bagaimanapun, dia akhirnya berjaya mendapat semangatnya semula dengan menghasilkan lukisan cat akrilik sambil menjaga ibunya.
“Ketika menemani ibu, saya membuatkannya lebih selesa kerana berada bersamanya setiap masa dan kadangkala dia sempat melihat apa yang saya lukis.
“Ibu sebenarnya seorang yang kreatif dan pernah menghasilkan sulaman cantik. Jadi, dia amat menghargai seni lukisan saya,” katanya.

Menerusi kanvas dan cat, Chua mendapat ketenangan dalam dirinya di saat berdepan kebimbangan mengenai keadaan kesihatan ibunya yang semakin merosot.
“Ibu sering berhalusinasi dan fikirannya mudah terkeliru apabila tidak dapat membezakan sama ada ia realiti atau sebaliknya. Kadangkala dia memberitahu bahawa ayah datang melawatnya selain teringat semula zaman penjajahan Jepun.

“Ketika kecil, ibu melalui kehidupan yang sangat sukar. Datuk pernah ditugaskan menyembelih lembu dan ayam untuk dimasak serta dihidangkan kepada tentera Jepun,” katanya yang menceritakan bahawa ibunya juga turut membantu datuk melakukan kerja itu.
Setiap kali melalui episod halusinasi, Chua terus menenangkan ibunya hingga keadaan menjadi kembali normal.
“Kami sama-sama mendapat ketenangan apabila ibu sentiasa di sisi saya manakala aktiviti seni ini pula menjadi terapi untuk diri sendiri,” katanya.
Bagi sekeping lukisan, Chua mengambil masa berbulan-bulan untuk menghasilkan setiap perincian dengan teliti menggunakan berusnya.
Setiap lukisannya membawakan tema yang sama iaitu dia cuba menggambarkan satu pandangan positif terhadap kehidupannya.

“Lukisan ‘Aspirations Achieved’ menggambarkan apa yang orang perlukan dalam kehidupan.
“Ikan berwarna perak itu menggambarkan panjang umur manakala warna emas pula menggambarkan kekayaan dan satu lagi berwarna merah simbol kepada keturunan atau anak-anak,” katanya.
Di sebalik penggunaan warna yang menyerlah itu, lukisannya terselit satu keikhlasan diri dan dia berharap mereka yang melihat lukisan itu akan berasa lebih bahagia ketika menggantungnya di rumah.
Hasil karyanya itu berjaya menyentuh hati sesiapa saja yang melihatnya dan ia turut menarik perhatian ramai rakan serta ahli keluarganya juga berminat untuk memilikinya.

Ketika mula melukis, ibunya sentiasa berseloroh bahawa lukisannya boleh dijual satu hari nanti dan dia kini gembira apabila ia menjadi kenyataan.
Walaupun ibunya sudah tiada lagi di sisi, namun kenangan bersama orang tersayang itu akan sentiasa terpahat di hati Chua buat selama-lamanya, begitu juga cintanya terhadap seni.
Jika anda berminat untuk mendapatkan karya Chua atau membuat tempahan istimewa, layari laman sesawang ini atau hubungi: [email protected] untuk maklumat lanjut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]