
Bilik infiniti atau ruangan yang tidak berpenghujung sering menjadi tarikan ilusi popular di beberapa lokasi tumpuan seluruh dunia.
Begitu juga di China apabila seorang pereka yang juga pengasas studio seni bina, X+Living, Li Xiang menggunakan elemen itu pada sebuah kedai buku sebagai tarikan kepada ‘ulat buku’.
Bahagian dalaman kedai buku Dujiangyan Zhongshuge terletak di Dujiangyan kelihatan seperti ruangan yang tidak ada batasan kerana perekanya menggunakan cermin bagi membentuk ilusi.
Li menerapkan penggunaan cermin itu secara bijak di seluruh ruangan seluas 10,500 kaki persegi itu selain menggunakan jubin lantai berwarna hitam untuk melengkapkan ideanya.
Perpustakaan yang baru dibuka pada musim luruh tahun lalu turut dihiasi dengan tangga berputar serta ruangan melengkung sekali gus menjadikannya bertambah unik.
Kedai buku terbabit terkenal dengan kelainan yang ditampilkan pada setiap premisnya dan setakat ini, cawangan di Dujiangyan itu adalah paling memukau pengunjung.
Li dilaporkan mengambil masa sebulan untuk menyiapkan rekaan manakala proses pembinaannya pula memakan masa hanya dalam tempoh lima bulan saja walaupun ia adalah satu rekaan yang rumit.
Salah satu teknik yang digunakan dalam mendapatkan kesan visual infiniti itu ialah menutup bahagian rak paling atas dengan cetakan buku di atas rak bagi menampakkan susunan buku dari lantai ke siling.
“Jika kita menempatkan buku di atas rak paling tinggi, ia bukan saja menyukarkan pembaca untuk mengambilnya tetapi juga bagi pekerja di kedai.
“Kedai ini sudah pun mempunyai lebih 80,000 buku dan sebenarnya tidak ada pembaziran ruang di sini,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]