
Usianya mungkin baru 10 tahun tetapi jangan memandang rendah terhadap keupayaan kanak-kanak bijak ini kerana dia sudah pun berjaya menewaskan Grandmaster catur.
Selain bijak, sikap Frederick Waldhausen Gordon juga wajar dipuji apabila dia tidak suka bercakap besar mahupun menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri di hadapan rakan sekolahnya yang lain.
Kanak-kanak dari Scotland itu mula bermain catur sejak berusia enam tahun lagi dan selepas seminggu mempelajarinya, dia sudah berjaya menewaskan ibu bapa sendiri yang juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Matematik.
Dia menyertai Akademi Catur Edinburgh dan menghabiskan masa dua jam selepas sekolah setiap hari untuk berlatih manakala empat jam lagi pada hujung minggu.
Gordon juga sentiasa mengasah kemahirannya dengan menonton pemain terbaik dunia di YouTube selain mendapatkan tips daripada guru catur dan rakan ibu bapanya.
Dia kemudiannya berjaya mencipta nama sebagai juara catur di United Kingdom (UK) bawah 10 tahun dan menjadi salah seorang murid terbaik di Scotland, dan kini Gordon adalah pemain catur terbaik di bawah 18 tahun di negara itu.
Manakala pada Mac lalu, dia berjaya menewaskan Grandmaster catur yang berusia 57 tahun dari Croatia, Bogdan Lalic dalam pertandingan English Chess Federation Prix Rapid Event.
“Saya sangat gemuruh tetapi menganggap apa pun yang terjadi, saya pasti mempelajari sesuatu daripadanya. Saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.
“Saya akhirnya menguasai pihak lawan apabila hampir menang sebelum dia berundur,” katanya yang menyertai pertandingan itu secara atas talian disebabkan pandemik Covid-19.
Kejayaan itu turut mengejutkan pengasas bersama Akademi Catur Edinburgh, Andrew Green yang kagum dengan kebolehan murid sekolah George Heriot itu.
“Dia mempunyai bakat yang amat serius dalam permainan catur. Impian saya ialah untuk menjadikan Scotland terkenal dalam dunia catur,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]