
Seekor ikan buntal menjadi bahan sensasi di media sosial apabila menunjukkan gelagat comelnya yang sempat menyelit untuk berswafoto dengan seorang penyelam di Australia.
Penyelam terbabit, Jules Casey menyifatkan kejadian itu sebagai luar biasa kerana tidak pernah berdepan dengan hidupan laut yang begitu ‘peramah’.
Menurut laporan Daily Mail, dia yang juga seorang jurugambar dalam laut sebelum itu melihat kehadiran ikan terbabit ketika menyelam berhampiran Rye Pier, Mornington Peninsula di Victoria.
Sambil membawa kamera GoPro, dia cuba merakam aksi sendiri sebelum dihampiri ikan buntal itu yang kelihatan ‘tertanya-tanya’ dengan perbuatannya.
Lebih comel lagi apabila ikan buntal terbabit terus berada di hadapan kamera, kemungkinan mahu dirinya juga dirakam oleh kamera dibawa Casey.
Video kejadian itu menjadi tular selepas dikongsi Casey menerusi akaun Instagramnya yang ditonton sebanyak 41,000 kali.
Berdasarkan rakaman berkenaan, ikan terbabit seolah-olah tidak mahu berganjak daripada wanita itu dan mahu terus menemaninya merakam saat indah berkenaan.
Menerusi satu temu ramah, Casey memberitahu dia sering berhadapan dengan pelbagai spesis ketika menyelam dan jarang sekali melalui pengalaman seperti itu.
“Disebabkan ikan ini bersikap terlalu ‘peramah’, saya cuba merakam swafoto kami bersama,” katanya.
Casey berkata, dia langsung tidak berasa takut diserang ikan itu kerana ia hanya bertindak agresif sekiranya berasa terancam dengan keadaan sekeliling.
Meninjau ruang komen akaun media sosialnya, rata-rata netizen kelihatan begitu terhibur dengan gelagat ikan buntal itu dengan memberi lebih 30,000 tanda suka.
“Mereka kelihatan comel bersama,” tulis seorang netizen.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]