Bunga Mayat tarik perhatian ramai

Bunga Mayat tarik perhatian ramai

Pemilik nurseri, Solomon Leyva ingin memberi peluang orang ramai melihat bunga itu secara dekat.

Kelihatan orang ramai berbaris panjang menunggu giliran untuk mengambil gambar Bunga Mayat milik Solomon Leyva di San Francisco. (Gambar AP)

Sebuah stesen minyak terbiar di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat tiba-tiba menjadi perhatian ramai apabila dikerumuni lebih 1,000 orang yang ingin melihat keunikan Bunga Mayat.

Bunga yang dikenali dengan nama saintifik, Amorphophallus Titanum itu adalah tumbuhan jarang ditemui menyebabkan orang ramai di sekitar kawasan itu sanggup berbaris panjang untuk mengambil gambar.

Tumbuhan itu dikatakan mendapat namanya kerana mengeluarkan bau yang amat busuk ketika berbunga.

Pokok itu sebenarnya diletakkan oleh seorang pemilik nurseri di Alameda, Solomon Leyva yang ingin memberi peluang kepada orang ramai melihatnya secara lebih dekat.

Katanya, dia sebelum ini pernah berkongsi gambar pokok terbabit dan media sosial dan tidak sangka ia menarik minat orang ramai.

“Saya berkongsi gambar pokok ini di media sosial dan nampaknya ramai yang begitu berminat untuk melihatnya sendiri.

“Jadi, saya ingin memberi peluang kepada penduduk sekitar melihatnya sendiri dengan meletakkannya di stesen minyak terbiar. Tidak lama kemudian, orang ramai mula mengerumuni tempat ini,” katanya.

Sambil melihat kedatangan orang ramai, lelaki terbabit juga begitu sabar melayan pertanyaan sama berulang-ulang kali sehingga petang dan kebanyakannya mengambil gambar untuk dikongsi di media sosial.

“Ramai yang memberitahu kali terakhir mereka melihat pokok ini adalah di bandar San Francisco tetapi ketika itu terdapat halangan apabila terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk menanti giliran.

“Mereka juga tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan untuk mendekatinya dan hanya mampu melihat dari jauh saja.

“Saya merasakan ramai yang menikmati pengalaman ini apabila mereka boleh menyentuh dan menghidu pokok terbabit,” katanya.

Walaupun pokok itu berbau busuk, namun ia begitu menarik perhatian ramai apabila sebelum ini dilaporkan terdapat sekumpulan besar pengunjung menyerbu taman botani New York pada 2016 semata-mata ingin melihat Bunga Mayat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.