
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Khairul Amir Mohamad Zubir berkata anak burung yang pertama terbang pada 8.06 pagi 14 Mei manakala yang kedua pada 10.30 pagi 15 Mei dan yang ketiga pada 11.20 pagi 17 Mei.
Burung hijrah yang berasal dari kawasan Afro-Eurosia iaitu sekitar Eropah, Afrika dan Asia tersebut adalah spesies yang berjaya membiak di negara ini.
Pasangan burung jantan dan betina spesies itu mula dikesan membuat sarang di Pokok Jemerlang pada 5 April lepas untuk bertelur.
Sejak induk burung itu bertelur, pihak Majlis Perbandaran Taiping telah mengadakan program pemantauan 24 jam membabitkan Jabatan Zoo Taiping, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).
“Hampir 100 orang telah berkunjung setiap hari untuk melihat burung tersebut di tapak pembiakan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan, seramai 30 petugas berada di situ untuk memantau dan membuat pemerhatian pasangan burung berkenaan.
“Pemerhatian mendapati pasangan burung itu terbang silih berganti lebih 200 kali sehari untuk memberikan makanan kepada anak-anaknya seawal 7 pagi dan berakhir pada 6 petang setiap hari,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Dia berkata pemerhatian juga mendapati pasangan burung jantan dan betina membawa 16 jenis diet pelbagai makanan seperti anak ikan, labah-labah, larva, ulat gonggok, belalang, lipas tanah, lipan tanah dan ulat kumbang.
Khairul Amir berkata pihaknya kini melaksanakan aktiviti pengumpulan dan mengemas kini data di tapak itu yang membabitkan burung tersebut sekaligus ianya dapat membantu menjayakan agenda ekopelancongan di bandar itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]