
Petaling Jaya: Dia kelihatan tenang duduk di sofa sambil dikelilingi beberapa gulungan benang mengait serta dua kucing kesayangan comel yang menjadi peneman setia iaitu Ollie dan Bambi.
Doktor veterinar itu, Dr Yasmin Rozaidi, 26, sebenarnya sedang menyiapkan alas cawan kait berbentuk kucing yang ditempah oleh pelanggan.
“Kucing yang nakal ini bernama Ollie. Saya menjumpainya di tengah-tengah Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) sebelum membawanya pulang.
“Perancangan awal adalah untuk menjaga sementara tetapi suami jatuh hati dengan kucing ini. Malah, dia kini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Three Kats. Dua lagi kucing, Bambi dan Batik adalah ketua pemasaran dan ketua sumber manusia,” katanya sambil ketawa.
Menurut Yasmin, idea penubuhan Three Kats bermula pada Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan buat pertama kali apabila penghuni di kondominumnya meminta pengurusan mengambil tindakan terhadap kucing terbiar yang berkeliaran di situ.
Dia yang bimbang mengenai nasib haiwan itu kemudiannya memikirkan cara terbaik untuk membantu iaitu dengan memandulkan semua kucing betina dan mencari tempat perlindungan untuk mereka.

Secara teorinya, perancangan itu kedengaran agak menarik tetapi proses mencari tempat perlindungan baru untuk kucing ini sebenarnya terlalu sukar.
Jadi, untuk melembutkan hati si pemilik baru, mereka bukan hanya membawa pulang kucing tetapi juga biskut serta kek cawan yang disediakan untuk haiwan berkenaan.
Yasmin berkata, ketika orang lain sibuk membuat kopi Dalgona dan kek pisang untuk menghilangkan rasa bosan sepanjang PKP, dia pula leka membuat kek cawan untuk kucing.
“Saya juga menjual snek kucing untuk menanggung kos vaksin dan pemandulan kucing. Kucing biasanya akan melahirkan empat kelima anak kucing dan semuanya perlu diberi suntikan vaksin, dimandulkan sebelum diberi kepada pemilik baru.
“Ada juga beberapa kes sebelum ini apabila pemiliknya tidak membawa kucing mereka untuk dimandulkan. Jadi, kini saya akan pastikan proses itu akan dilakukan terlebih dulu sebelum diserahkan kepada pemilik,” katanya.
Caption: Yasmin turut ditemani oleh Bambi. (Gambar Yasmin Rozaidi)
Selain snek kucing, dia turut menghasilkan pokok kucing buatan sendiri untuk dijual namun usaha itu terbantut apabila PKP 2.0 dilaksanakan.
Pelaksanaan itu menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan bahan selain tidak dapat menghantar barang kepada pelanggan susulan sekatan perjalanan.
“Biasanya pokok kucing turut didatangkan bersama alat permainan untuk menggalakkan kucing melompat, bermain dan mencakar kukunya. Sebab itulah saya menghasilkan permainan daripada benang kait.
“Alat permainan kait pertama diberikan kepada Ollie dan dia amat menyukainya,” kata Yasmin sambil menjelaskan aktiviti itu adalah sesuatu yang baru buat dirinya.

Kini, Yasmin bukan hanya mengait permainan kucing tetapi juga pelbagai barangan lain mengikut permintaan termasuk cekak rambut, beg, selimut, anting-anting, alas cawan berbentuk kucing, kain alas meja serta banyak lagi.
“Jika pelanggan menyukai produk itu, saya akan menjualnya dalam pelbagai warna. Saya akan menghasilkan semula stok dalam warna berlainan supaya ada sedikit kelainan,” katanya.

Three Kats turut bekerjasama dengan kedai haiwan peliharaan, Winners Pet Plaza di Taman Tun Dr Ismail bagi sama-sama membantu mencari rumah baru untuk kucing liar.
Selain memuat naik gambar kucing liar di pelbagai laman web, Yasmin menggunakan sebahagian keuntungan diperoleh daripada Three Kats untuk memandul serta memberi vaksin kepada haiwan tersebut.
“Jika alat permainan bola kucing dijual pada harga RM12, maka RM2 digunakan untuk membeli benang. Selebihnya akan digunakan untuk vaksin dan pemandulan kucing. Setakat ini kita sudah menyelamatkan, memandulkan serta memberi vaksin kepada 16 ekor kucing dan tiga anjing,” katanya.

Memandangkan dia adalah doktor veterinar berdaftar, Yasmin juga memberi ubat cacing dan kutu serta membersihkan luka pada kucing liar sebelum diserahkan kepada pemilik baru.
Namun, dia berharap dapat memberi fokus sepenuhnya dan memperluaskan lagi perniagaan Three Kats pada masa hadapan.
“Saya tidak pernah bercita-cita untuk membuka klinik sendiri, sebaliknya ingin membantu lebih banyak haiwan terbiar di luar sana.
Saya bercadang bertemu dengan pemilik kedai haiwan peliharaan yang boleh menyediakan pakej makanan untuk disertakan dalam pakej jagaan apabila pemilik mengambil haiwan ini,” katanya.
Disebabkan tempahan yang diterimanya semakin banyak, dia bercadang mendekati golongan ibu tunggal di kawasan sekitar untuk membantunya menyiapkan tempahan itu.

Masalah haiwan terbiar yang berkeliaran di negara ini mendorong Yasmin untuk terus menyebarkan kesedaran terhadap kepentingan memandulkan haiwan berkenaan.
“Terdapat ramai orang yang enggan memandulkan haiwan peliharaan mereka. Sebenarnya haiwan yang dimandulkan ini berpeluang untuk hidup lebih lama. Ia juga akan menjadi lebih sihat dan boleh menjalani kehidupan dengan lebih selesa,” katanya.
Berminat untuk membeli alat permainan buat kucing kesayangan anda atau teringin memiliki alas cawan berbentuk kucing, selimut atau kek cawan kucing?
Anda boleh memberi sokongan terhadap Three Kats untuk melindungi kucing terbiar menerusi laman Instagram hubungi Yasmin di talian 017 8331130.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]