Hobi kumpul mainan hingga pegang rekod dunia

Hobi kumpul mainan hingga pegang rekod dunia

Sejak usia lima tahun, Percival Lugue memiliki hobi mengumpul mainan dari restoran makanan segera seperti McDonald's, Burger King, dan Jollibee.

Percival Lugue bersama timbunan koleksi mainannya. (Gambar Reuters)

Seorang lelaki berusia 50 tahun mempunyai sekitar 20 ribu mainan yang dikumpulnya sejak berusia lima tahun.

Lebih menarik, dia juga memegang Rekod Dunia dari Guinness World Record sejak 2014, sewaktu koleksinya mencapai lebih dari 10 ribu.

Percival Lugue yang berasal dari Filipina memiliki hobi mengumpul mainan dari restoran makanan segera seperti McDonald’s, Burger King, dan Jollibee.

Lugue, yang tinggal di Apalit di Pampanga, di barat laut Manila, membina rumah khusus untuk menampung seluruh koleksinya dan kini timbunan mainan tersebut memenuhi lantai hingga bumbung rumahnya.

“Mainan ini adalah seperti sebuah cerita. Ia menggambarkan tentang suatu peristiwa apabila saya mendapatkannya,” ujar Lugue, seperti yang dilaporkan Reuters.

Menurutnya lagi, sebahagian besar mainan tersebut diperolehi melalui pembelian dan sumbangan rakan serta keluarganya.

“Saya suka mengajak rakan-rakan makan di McDonald’s dan dalam waktu yang sama saya boleh mengumpul seluruh set permainan,” katanya.

Lugue akan merasa begitu gembira setiap kali mendapat mainan baharu seperti perasaan meraikan perayaan Krismas.

Dia sering bermain-main dengan mainan itu, malah sewaktu kanak-kanak dia menjaga setiap permainan tersebut dengan baik.

Jelas Luque, salah satu koleksi paling berharga adalah patung “Hetty Spaghetti”, maskot dari restoran Jollibee yang diberikan ibunya pada 1988.

Dia kini memasang impian untuk mempamerkan koleksinya bagi tatapan umum dan ingin membuat sebuah muzium bagi membolehkan orang ramai melihat dan mengenang kenangan waktu kecil mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.