Penulis skrip kini tauke sabun

Penulis skrip kini tauke sabun

Zuliana memanfaatkan bahan terbuang untuk menghasilkan sabun pertama dan kini berjaya membina perniagaannya sendiri.

Sabun dari kunyit dan oren untuk membantu menghilangkan jerawat kecil dari SabunFiction. (Gambar Zuliana)

Tidak siapa sangka, wanita yang dahulunya giat menulis skrip kini bertukar menjadi usahawan sabun.

Zuliana Izlin Ismail, 40, seorang penulis yang menemui minat membuat sabun apabila cuba mencari aktiviti lain untuk memberinya idea mengarang.

“Sebelum ini saya menulis skrip. Sebagai penulis, kadangkala idea itu tersangkut menyebabkan saya mencari sesuatu untuk dilakukan.

“Pernah juga saya membuat kek, namun berat badan pula yang naik. Saya terus mencari aktiviti lain lalu terjumpa cara membuat sabun.

Zuliana bersama produk jenamanya sendiri, SabunFiction yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan. (Gambar Zuliana)

Secara kebetulan dia mempunyai banyak minyak masak terpakai lalu menggunakannya sebagai bahan untuk menghasilkan sabun basuh pinggan.

Menurut Zuliana, dia mempelajari cara membuat sabun hanya dengan menonton video di YouTube namun ketika itu ia hanyalah sekadar hobi semata-mata.

“Saya mencari ilmu membuat sabun ini di YouTube dan SoapLab. Sabun eco adalah sabun pertama dihasilkan dan ia menggunakan minyak masak terpakai.

“Bermula dari situ saya belajar perlahan-lahan sehinggalah terhasilnya pelbagai jenis sabun buku untuk kegunaan harian,” katanya.

Sabun semambu dan lemon yang dipercayai boleh membantu melembabkan kulit. (Gambar Zuliana)

Jelas Zuliana, dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan hobi itu sebagai satu perniagaan namun teruja apabila melihat rakan-rakan berpuas hati apabila mencuba sabun yang dihasilkan.

“Pada mulanya saya langsung tidak terfikir untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan dan hanya sekadar hobi semata-mata.

“Namun, disebabkan terlalu banyak sabun yang dihasilkan, saya mula menjualnya dan rakan memberi reaksi positif sambil memberitahu ia baik untuk kulit mereka juga.

Kini, dua tahun sudah berlalu sejak dia memperkenalkan jenamanya sendiri, SabunFiction yang mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan.

Bergelar usahawan, dia juga tidak dapat lari daripada cabaran terutama persepsi orang ramai mengenai produk buatan sendiri.

Sabun buku yang dihasilkan menggunakan kunyit. (Gambar Zuliana)

“Pada mulanya, ramai yang merasakan produk SabunFiction adalah produk timbang kilo. Namun, selepas saya berkongsi bahan semula jadi yang digunakan, ramai mula percaya dan menjadi pelanggan tetap.

“Selain itu, ada juga yang membuat perbandingan harga sabun buatan sendiri dengan komersil. Memang tidak dinafikan ia agak mahal sedikit tetapi bahan digunakan bukan dibeli secara pukal seperti kilang tetapi dihasilkan sendiri,” katanya.

Sabun buku yang dihasilkannya menggunakan 100 peratus minyak semula jadi seperti minyak zaitun, minyak kelapa, minyak kacang badam yang memberi banyak khasiat kepada kulit.

Zuliana berkata, dia mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan tetapi terpaksa menangguhkannya dahulu mengambil kira situasi pandemik yang masih belum reda.

Katanya, buat ketika ini dia meneruskan perniagaan itu dengan menjual produk secara atas talian saja.

Pelanggan juga boleh menempah set ‘doorgift’ sebagai cenderamata. (Gambar Zuliana)

“Mestilah saya terfikir untuk membuka kedai seperti Lush tetapi disebabkan pandemik ini, saya putuskan untuk berniaga secara atas talian sehingga menunggu masa yang lebih sesuai,” katanya.

Selain menjadi peniaga, Zuliana turut mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penggunaan bahan semula jadi dan kitar semula.

“Dalam kehidupan seharian juga, saya cuba amalkan kitar semula dan kurangnya penggunaan plastik. Sebab itu saya lebih memfokuskan terhadap sabun buku berbanding cecair dan menggunakan bahan mesra alam.

“Sambil berniaga, saya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk semula jadi dan kitar semula,” katanya yang turut mengimport bahan sendiri seperti Babassu Oil dan Sweet Almond Oil dari Perancis.

Selain itu baginya, tidak lengkap jika dia tidak memanfaatkan ilmu dimiliki kepada orang lain bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Zuliana juga mengadakan kelas membuat sabun kepada mereka yang berminat. (Gambar Zuliana)

Dia kini turut mengadakan kelas membuat sabun kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari kebaikan menggunakan bahan semula jadi.

“Selain perniagaan, kini ia berkembang kepada kelas dan saya mengajar mereka yang ingin menambah pendapatan. Mereka juga boleh mempelajari kebaikan menggunakan bahan semulajadi ini,” katanya.

Berminat menggunakan sabun daripada bahan semula jadi? Anda boleh ke Instagram @sabunfiction untuk melihat pelbagai jenis sabun buku dihasilkan Zuliana.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.