Lakaran ganti rindu kepada Malaysia

Lakaran ganti rindu kepada Malaysia

Gladys Teo-Simpson, 52, yang tidak pulang ke Kuching, Sarawak sejak setahun lalu melepaskan rindu menerusi lakarannya.

Gladys bersama lakaran Taj Mahal yang dihasilkannya. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

Petaling Jaya: Jika pernah terserempak dengan Gladys Teo-Simpson membuat lakaran di tepi jalan sambil duduk di kerusi lipatnya, anda mesti berasa kagum.

Wanita berusia 51 tahun yang menetap di Jakarta, Indonesia sejak November 2019 lalu, semakin mendapat perhatian netizen di media sosial yang tertarik dengan lakaran terperinci bangunan kegemarannya di Kuching.

Selepas menceburi bidang pengiklanan selama 15 tahun, pengarah seni ini akhirnya berehat daripada kerjaya sebelum berjinak-jinak dengan lukisan akrilik dan cat minyak.

Gladys membuat lakaran di sebuah taman. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

”Saya bermula pada 2012 dengan menghasilkan potret haiwan peliharaan dan seorang rakan meletakkan tag nama saya pada hantaran di Urban Sketching.

“Ia adalah pertubuhan bukan kerajaan terdiri daripada komuniti artis global yang membuat lakaran di lokasi seperti kawasan bandar, pekan dan kampung. Dalam tempoh dua bulan pertama itu, saya membuat lakaran setiap hari dan ia sememangnya memerlukan latihan dan minat,” katanya.

Gladys menjelaskan, lakaran pertamanya adalah pemandangan dari tingkat di Hotel Sofitel Plaza, Hanoi.

“Apabila saya melukis, saya perlu tahu sejarah bangunan itu, bila ia dibina dan apa tujuannya. Konsep Urban Sketching adalah melukis secara langsung dan ia sangat menarik,” katanya yang memberitahu dia berasa gementar untuk menyiapkan lakaran dalam tempoh satu jam.

Gladys berkata, orang ramai yang lalu-lalang sering berhenti dan melihatnya membuat lakaran.

Lakaran pasaraya ikonik di Kuching, Ting & Ting (Gambar Gladys Teo-Simpson)

Menurut Gladys, pada awalnya dia berasa tidak selesa dengan kehadiran orang ramai yang sering memerhatikan lakarannya namun dengan pengalaman beberapa tahun, wanita itu sudah mula membiasakan diri dan kadangkala berbual dengan mereka.

Katanya, inspirasinya melakar tempat bersejarah di Kuching sebenarnya bermula daripada lakaran potret ibu bapanya apabila dia kembali ke kampung halaman.

“Selepas ibu meninggal dunia pada 2017, ia adalah saat yang sukar buat ayah dan kadangkala saya membawanya keluar untuk menikmati ais krim atau ke tempat yang mempunyai banyak kenangan.

“Apabila melakar bangunan Mahkamah Lama di Kuching, saya sebenarnya sedang membawanya keluar untuk makan tengah hari. Saya mencuri sedikit masa untuk membuat lakaran itu,” katanya.

Katanya, teknik kegemarannya ialah dengan melukis garisan luar bangunan itu sebagai cara untuk menjimatkan masa sebelum disiapkan dengan teliti bersama warna di rumah.

Lakaran bangunan Mahkamah Lama Kuching. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

”Menjadi pelukis Urban, saya cuba mengikut peraturan lakarannya iaitu jangan sekali-kali meniru daripada gambar di portal online,” katanya.

Gladys yang kali terakhir berada di Malaysia pada Februari tahun lalu begitu rindukan kampung halaman namun ia memberi ruang kepadanya untuk melihat Kuching dari sudut pandangan baru dan memberi inspirasi menghasilkan lakaran.

Lakaran kenangan menikmati ais krim bersama bapa di Sunny Hill Ice Cream. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

Ketika perintah berkurung akibat pandemik Covid-19 di Indonesia, pelukis berbakat itu turut menghasilkan jurnal lakaran yang mendokumentasikan perjalanannya sepanjang tempoh berkenaan.

Jurnal itu mengandungi lakaran tumbuh-tumbuhan, anjing peliharaannya dan pelbagai situasi dalam kehidupannya.

Salah satu lakaran paling bermaknanya adalah pasukan perubatan berpakaian Hazmat datang ke rumahnya untuk membuat ujian Covid-19 terhadap suami.

Lakaran suami Gladys membuat ujian Covid-19. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

Sementara menunggu sekatan perjalanan ditarik balik, Gladys sedang menyiapkan projek terbaru, lakaran penjaja di kawasan tempat tinggalnya di Kemang.

“Di Kemang, terdapat ramai penjaja. Ia bukan hanya sebagai lakaran kerana jika saya berjaya menemubual mereka, saya boleh menceritakan perniagaan mereka.

“Saya bernasib baik kerana terdapat rakan di sini yang memiliki galeri dan berminat untuk bekerjasama mempamerkan hasil kerja lakaran penjaja di Kemang. Saya percaya mereka perlukan sokongan ini untuk mengharungi situasi pandemik,” katanya.

Salah satu lakaran Gladys, Pak Latif yang membuat ‘toge goreng’ dengan kuah kacang. (Gambar Gladys Teo-Simpson)

“Melakar adalah salah satu cara saya bermeditasi kerana berasa begitu tenang setiap kali melukis. Saya boleh ke masa lampau hanya dengan melihat buku lakaran dan mungkin ia menjadikan saya kekal muda,” seloroh Gladys.

Untuk melihat lakarannya, anda boleh ke gladsketches.blogspot.com atau akaun Instagram.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.