
Biarpun sedar ia bukan perkara mudah, namun mereka tidak mahu ketinggalan dalam melaksanakan tanggung jawab terhadap alam sekitar dengan mengikuti program cabaran mengumpul dana oleh First Steps for Wildlife (FSW) dan Persatuan Konservasi Penyu Malaysia (TCS).
Salah seorang daripada mereka, wakil Terra Warriors, Loh Jey Tse berkata, dia sebenarnya mendapat galakan daripada guru sains yang memberi inspirasi melakukan sesuatu bermakna demi kepentingan alam sekitar.
“Guru sentiasa mengajar kami bagaimana pentingnya untuk bersikap peka terhadap alam sekitar.
“Saya sudah lama berminat membabitkan diri dalam program seperti ini tetapi tidak tahu bagaimana caranya untuk memulakan langkah,” katanya.
Katanya, apabila salah seorang pelajar yang juga pengasas FSW memaklumkannya mengenai program itu, dia terus merebut peluang berkenaan.

Dia yang juga wakil pasukan memenangi cabaran itu berkata, lebih mencabar apabila kutipan dana diadakan ketika berlakunya pandemik yang turut memberi kesan terhadap ekonomi.
“Ia sememangnya agak sukar untuk melakukan kutipan dana ini. Lebih menyukarkan apabila kempen juga terpaksa dilakukan secara maya,” katanya.
Katanya, kecekalan yang ditunjukkan bersama ahli pasukan bukan satu usaha sia-sia kerana ia akhirnya akan disalurkan untuk tujuan bermakna.
“Malaysia menempatkan 18 spesis penyu. Namun malangnya, kesedaran orang ramai mengenai perkara ini masih cetek.
“Pengalaman seperti ini amat berharga untuk saya dan berharap dapat membabitkan diri dalam banyak lagi program pada masa hadapan,” katanya.

Manakala seorang pencinta haiwan, Lam An Ju yang mewakili Koopa Troopas berkata, dia ingin melakukan peranannya sebagai anggota masyarakat selepas melihat usaha dilakukan oleh FSW.
“Penyu adalah hidupan paling terancam dan mereka tidak dapat hidup tanpa sebarang usaha dilakukan oleh manusia. Saya ingin membantu selagi berdaya,” katanya.
Wakil pasukan Terrapin Heroes, Dinie Dayana Mohamad Azri pula berkata, dia terpanggil untuk menyertai cabaran itu ketika berlakunya pandemik baru-baru ini.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, banyak perkara yang saya sedar. Sebagai contoh, satu berita melaporkan bahawa alam sekitar boleh pulih dengan sendiri tanpa campur tangan manusia.
“Ia menyebabkan saya berfikir, jika manusia punca kerosakan itu, mereka juga boleh menjadi penyelesaian,” katanya.
Menurutnya, cabaran menerusi program itu adalah tepat pada masanya ketika dia semakin menyedari realiti sebenar.
Namun katanya, ia agak merisaukan dirinya memandangkan ahli kumpulan kurang mendekati hidupan itu berbanding haiwan peliharaan biasa seperti kucing dan anjing.
“Saya tidak kisah mengenai siapa yang kami bantu selagi ia mampu membawa sesuatu perubahan. Saya mahukan tindakan dilakukan berbanding luahan di Twitter yang tidak lagi memadai,” katanya.

Katanya, dia mempelajari banyak perkara lain mengenai usaha konservasi penyu daripada TCS dan FSW.
“Mereka melakukan usaha yang amat baik dalam meningkatkan kesedaran kepada orang ramai termasuk saya. Saya amat berterima kasih kerana mereka mengajar saya mengenai usaha terhadap alam sekitar,” katanya.
Menurutnya, walaupun ia agak memenatkan tetapi dia bersedia untuk menyertai program seumpama itu selepas ini.
“Ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan. Apabila anda yakin dengan usaha ini dan dilakukan pula dengan pasukan terbaik, apa yang memenatkan itu sebenarnya memberi tenaga untuk berusaha lebih gigih,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]