
Seekor kucing memaut hati netizen apabila video menunjukkan seolah-olah ia menangis selepas ditinggalkan bersendirian ketika tuannya pulang ke rumah ibu bapa untuk menyambut Tahun Baharu Cina.
Kucing baka British Shorthair bernama Fu Fu itu seperti menangis apabila tuannya, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Meng, memanggil namanya menerusi monitor yang ditinggalkan untuk memantau keadaan haiwan kesayangannya itu sepanjang pemergiannya.
Menurut Daily Mail, Meng meninggalkan Fu Fu kerana mahu menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibu bapanya tetapi meninggalkan makanan dan air mencukupi untuk kucing itu, selain meletakkan kamera bagi memantaunya sepanjang tempoh itu.
Rakaman berdurasi 17 saat itu diambil pada lewat 8 Feb dan mendapat lebih 8 juta ‘like’ malah Fu Fu kemudian digelar ‘kucing yang ditinggalkan.’
Meng berkata Fu Fu terpaksa ditinggalkan kerana tidak selesa apabila ada orang lain.
Katanya, kucing jantan itu amat manja dan sentiasa ‘melekat’ dengannya jika mereka bersama di rumah.
Selepas melihat keadaan Fu Fu, Meng tidak sampai hati meninggalkannya lebih lama lalu segera pulang untuk bersama kucingnya itu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]