Uzair gagah dalam bidang berbasikal walau hidap autisme

Uzair gagah dalam bidang berbasikal walau hidap autisme

Tenaga kayuhan yang ditunjukkan Ahmad Uzair adalah anugerah yang mungkin tidak ramai berkemampuan melakukannya termasuk orang dewasa.

Tenaga kayuhan yang ditunjukkan Ahmad Uzair amat luar biasa dan sukar mempercayai dia menghidap autisme. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sekali pandang, Ahmad Uzair Ahmad Syauqi, 12, kelihatan seperti remaja lain yang sedang meningkat usia. Ahmad Uzair sememangnya aktif tetapi kadangkala menjadi terlampau aktif sehingga sukar dikawal.

Ketika rakan seusianya memilih aktiviti e-Sport mahupun bola sepak, sukan berbasikal menjadi pilihannya.

Sejak menceburi bidang sukan ini pada tahun 2018 , dia hebat melakukan kayuhan lebih kurang 7,000 kilometer (km), malah Ahmad Uzair adalah Super Rondonneur (SR) termuda di Malaysia setelah berjaya melengkapkan kayuhan Brevet de Randonneurs Mondiaux (BRM) anjuran Audax Randonneurs Malaysia.

Kejayaannya melengkapkan kayuhan pada satu musim dengan jarak dan masa yang ditetapkan, iaitu BRM200 dalam masa 13.5 jam, BRM300 dalam masa 20 jam, BRM400 dalam masa 27 jam dan BRM600 dalam masa 40 jam yang turut diperakui di peringkat antarabangsa.

Pada usia yang masih muda, tenaga kayuhan yang ditunjukkan Ahmad Uzair amat luar biasa, justeru sukar untuk mempercayai bahawa anak ketiga pasangan Munirah Hanim Ahmad Jahudi, 38, dan Ahmad Syauqi Ahmad Said, 38, ini menghidap autisme.

Pengidap autisme

Autisme adalah sejenis kecacatan melibatkan aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak.

Ahmad Uzair yang dikesan menghidap autisme sejak usia dua tahun mengalami Sindrom Kurang Daya Tumpuan (ADHD) yang merupakan satu kecelaruan tingkah laku.

Ibunya, Munirah Hanim yang merupakan penasihat kumpulan sokongan bagi kesedaran dan kesejahteraan autisme berkata, beliau dan suami sentiasa positif dan mencuba meneroka aktiviti yang menjadi minat keempat-empat anaknya termasuk Ahmad Uzair.

Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti sukan antaranya tenis dan renang. Bagaimanapun Ahmad Uzair tidak menunjukkan minat pada kedua-dua sukan tersebut.

Hanya pada tahun 2019 apabila didedahkan dengan sukan basikal, Ahmad Uzair memberi reaksi yang sangat positif, kongsi Munirah Hanim yang mempunyai tiga lagi orang cahaya mata, selain Ahmad Uzair.

Ketika berkayuh jelas terpancar kegembiraan anak istimewa itu dengan melihat ke kiri dan kanan seolah-olah seperti burung yang terbang bebas.

Bermula dengan kayuhan di sekitar taman perumahan mereka di Damansara sejauh 6 km kemudian meningkat kepada 15 km dan seterusnya Ahmad Uzair menyertai acara kayuhan sejauh 30 km dan 77 km.

“Pada kayuhan 77 km nampak Uzair bersemangat dan tidak nampak penat malah masih bertenaga untuk berkayuh.

“Ini menyebabkan kami berani untuk membawanya menyertai kayuhan yang lebih jauh merentasi negeri sejauh 150 km dari Seremban ke Melaka kemudian baharu memasuki kayuhan anjuran Audax Randonneurs Malaysia dengan jarak 200 km, 300 km, 400 km , 500 km dan 600 km,” katanya kepada Bernama.

Tidak keseorangan, dalam setiap acara kayuhan jarak jauh Ahmad Uzair ditemani ayahnya serta lima lagi rakan didalam kumpulan yang dinamakan Cycle. Uzair. Cycle (CUC) untuk bersama-sama menjaga keselamatan dan keperluannya terutama makan dan minum serta waktu rehat.

Berbasikal sebagai terapi

Semenjak terlibat dalam sukan berbasikal, banyak perubahan yang boleh dilihat pada Ahmad Uzair terutama pada waktu tidurnya yang lebih teratur, memahami arahan selain tahu membezakan arah antara kiri dan kanan.

“Uzair memang tidak pandai membezakan kiri dan kanan sebelum ini. Sejak masuk dalam sukan basikal dia sudah faham terutama bila disuruh belok kiri, dia tahu belok kiri dan doktor terapi yang merawatnya juga mengakui Uzair semakin fokus.

“Sekarang Uzair juga sudah mula belajar membaca. Berbanding tujuh tahun dahulu, saya tak pernah terfikir pun untuk anak saya sampai ke tahap ini dengan mengajar dia membaca sebab kita tahu dia tidak fokus. Bila berbasikal, ada kombinasi keseimbangan, fokus yang membantu perubahan dirinya,” ujar Munirah.

Bagaimanapun terdapat sedikit masalah kepada Ahmad Uzair ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020 apabila aktiviti sukan tidak dibenarkan. Keadaan ini menyebabkan aktiviti kayuhannya terhenti seketika dan mengganggu kembali waktu tidurnya.

Bimbang dengan keadaan itu, Munirah dan suami terpaksa meminta kebenaran pihak pengurusan pangsapuri tempat tinggalnya untuk membenarkan Uzair berbasikal di kawasan berdekatan lobi dan tempat letak kereta.

“Biasanya Uzair akan kayuh empat kali seminggu tetapi bila PKP tidak boleh berkayuh di situ nampak ketara dia kembali tidur lewat dan kerap tantrum.

“Apabila kembali berkayuh di dalam kawasan pangsapuri nampak tenaganya dapat dikeluarkan dan apabila badannya letih mudah untuknya tidur,” katanya.

Tenaga kayuhan yang ditunjukkan Ahmad Uzair adalah anugerah yang mungkin tidak ramai berkemampuan melakukannya termasuk orang dewasa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.