Anak Pulau Pinang ubah suai van jadi kedai buku bergerak di New Zealand

Anak Pulau Pinang ubah suai van jadi kedai buku bergerak di New Zealand

Berpangkalan di Queenstown, Natasya Zambri bersama rakannya Annie Buscemi mengasaskan Bright Ink, kedai buku bergerak untuk memupuk minat membaca kepada orang ramai.

Pengasas Bright Ink, Annie Buscemi dan Natasya Zambri. (Gambar Natasya)
PETALING JAYA:
Bayangkan memandu van dipenuhi ratusan buku. Dengan rasa bersemangat, anda terus menghalakan kenderaan ke arah bandar di New Zealand, ditemani angin bayu sejuk yang menyegarkan.

Bunyinya begitu indah dan itulah yang dilakukan Natasya Zambri, bersama rakan perniagaannya Annie Buscemi, 32, dengan sebuah van mereka memandu dari Queenstown membawa ‘kedai buku bergerak’ Bright Ink.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 24 tahun itu memberitahu FMT, dia pertama kali menemui Annie ketika sama-sama bekerja di sebuah syarikat dahulu, ketika itu Natasya memegang jawatan sebagai akauntan.

Persahabatan mereka terjalin sejak dua tahun lalu sebelum keduanya berhenti kerja.

Persahabatan antara mereka terjalin selepas berkenalan di tempat kerja sebelum ini. (Gambar Natasya)

“Pada 2020 kami tiba-tiba terfikir untuk mewujudkan sebuah kedai buku bergerak selepas selesai kelas bahasa Sepanyol. Saya mencadangkan kepada Annie bahawa kami patut membuat perniagaan bersama dan dia terus mencadangkan kedai buku bergerak.

“Apa lagi, kami terus bersetuju melakukannya! Sejak dua hingga tiga tahun lalu saya memang mengimpikan kehidupan minimalis,” kata Natasya.

Rancangan itu memang menarik, namun mereka tetap harus berdepan realiti bahawa isu kewangan adalah perkara utama untuk merealisasikan sebuah impian.

Susulan itu, mereka memasuki platform “crowdfund” PledgeMe, projek sumbangan dana awam berpangkalan di Wellington, New Zealand.

“Pendekatan PledgeMe adalah secara ‘all or nothing’ bererti jika anda tidak mencapai jumlah sumbangan minimum, anda tidak menerima sesen pun,” jelasnya dengan menambah mereka berdua merakam video kempen dan selesai menyuntingnya dalam hanya sehari.

Impian dan usaha mereka terus membuahkan hasil apabila dalam tempoh hanya 24 jam selepas kempen itu dibuat, dua sahabat itu mendapat lebih daripada separuh jumlah minimum yang diminta dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan.

“Memang menjadi pembakar semangat apabila sokongan dan derma turut diberikan orang yang tidak dikenali yang menaruh kepercayaan terhadap kempen kami.

“Ini bererti ramai yang percaya dengan impian kami dan itu sendiri sudah cukup menggembirakan serta menguatkan semangat kami,” kata Annie dengan girang.

Anggota baru Bright Ink’s, sebuah Nissan Caravan. (Gambar Natasya)

Menjelang 20 Disember, kempen itu berjaya mengumpulkan NZ $7,130 dan disertai ‘anggota ketiga’ Bright Ink Mobile Bookshop – sebuah karavan Nissan.

Langkah seterusnya adalah mengisi van berkenaan dengan buku, lalu dua sahabat itu mula mencari buku di kedai buku bebas.

Dalam pada itu, begitu ramai yang kagum dengan usaha dua wanita tersebut dan mendermakan puluhan kotak buku sehingga akhirnya mereka mempunyai 568 buku terpakai.

Bright Ink mahu membuka mata masyarakat mengenai betapa pentingnya buku terpakai. (Gambar Natasya)

“Kami melihat dalam masyarakat dan rata-rata orang ramai lebih sukakan buku yang tradisional berbanding e-buku. Satu lagi yang ingin kami galakkan adalah amalan memberikan hadiah, yang tidak memerlukan buku baru yang mahal.

“Menghadiahkan buku terpakai yang dijaga elok kepada orang tersayang atau rakan-rakan bukan saja bersifat mapan, malah buku berkenaan dapat terus menyinari kehidupan orang lain pula,” kata Annie.

Selain menjadi kedai buku terpakai bergerak, dua sahabat itu turut merancang menggunakannya sebagai ruang untuk bekerjasama dengan artis tempatan bagi mempromosikan karya mereka selain mengadakan sesi berpuisi, penceramah undangan dan bengkel.

Dua sahabat itu juga mahu menjadikan Bright Ink ruang kreatif untuk artis tempatan berkongsi karya seni mereka. (Gambar Natasya)

“Misi kami adalah untuk mengembangkan budaya seni di daerah ini dan menyediakan platform lebih meluas untuk artis tempatan meluahkan serta berkongsi karya mereka.

“Dengan menjual buku terpakai dari van, kami berharap dapat menggalakkan minat membaca dan amalan menghadiahkan buku terpakai sebagai hadiah yang bermakna dari hati,” kata Natasya.

Menurut Annie, Queenstown lazim dilihat sebagai pekan pelancongan kerana menawarkan banyak aktiviti luar, namun masih ramai penduduknya yang boleh dianggap ‘ulat buku’.

Dua sahabat bersama van yang dihias cantik boleh ditemui di Remarkables Market di Queenstown. (Gambar Natasya)

“Satu perbezaan budaya besar antara penduduk di Malaysia dan New Zealand, adalah masyarakat di sini rata-rata gemar membaca dan memang seronok melihatnya, tidak kiralah kanak-kanak, ibu bapa malah juga warga emas.

“Saya kini bekerja di perpustakaan dan kita boleh melihat purata pengunjung mencecah 1,000 orang,” tambah Natasya.

Namun, hari ini dua sahabat itu sedikit gementar – hari pertama Bright Ink di pasar tani tempatan pada 20 Oktober dengan pelanggan yang teruja menantikan kedai buku bergerak hebat ini.

“Kami berdoa Covid-19 berada di tahap satu supaya rancangan ini dapat diteruskan, dan jika keadaan lebih baik kami berharap dapat memandu ke Utara,” kata Natasya.

Pembaca boleh duduk di kusyen yang disediakan dan bersantai sambil membaca. (Gambar Natasya)

Malah, Annie dan Natasya meletakkan kusyen serta bangku untuk menggalakkan pembaca duduk bersantai dan merasai seolah-olah berada di kedai buku.

Jika ada buku khusus yang dikehendaki, usah risau mereka juga mempunyai senarai lengkap di hujung jari dalam telefon pintar mereka.

Apa impian mereka untuk Bright Ink di masa depan? Natasya sambil tersenyum memandang Annie berkata, dia teringin memiliki sebuah kedai buku kecil sendiri dan van itu menjadi penghias di luarnya.

Mungkin juga untuk memiliki van kedua. Menarik sungguh bunyinya!

“Itulah yang paling kami impikan,” kata mereka, serentak.

Untuk maklumat terkini mengenai lokasi dituju Bright Ink, anda boleh mengikuti laman Instagram dan Facebook mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.