Jurutera Singapura bina alat bantuan pendengaran DIY untuk ibunya

Jurutera Singapura bina alat bantuan pendengaran DIY untuk ibunya

Ciptaannya mendapat pujian di media sosial, dengan netizen mengatakan pencipta-pencipta tempatan sepertinya perlu lebih mendapat sokongan kerajaan.

Chan sewaktu lawatan ke blok kediaman jurutera tersebut, menunjukkan alat bantuan pendengaran DIY. (Gambar Facebook)

Seorang jurutera di Singapura menerima pujian apabila alat bantuan pendengaran ciptaannya mendapat perhatian di media sosial.

Alat DIY (Do it yourself) tersebut dibina untuk ibunya, menggunakan bahan-bahan seperti fon telinga dan kiub kayu. Dia ditemui oleh Menteri Industri dan Perdagangan Chan Chung Sing semasa lawatannya ke blok kediaman mereka.

“Terjumpa alat ini ketika lawatan ke blok. Ibu ini dapat mendengar dengan lebih baik menggunakan fon telinga yang bersambung dengannya.

“Ibu itu sangat bangga apabila bercerita mengenai anaknya (yang mencipta alat ini), seorang jurutera!” kata Chan menerusi sebuah kiriman di laman Facebook beliau.

Menurut laporan Mashable SEA, alat yang mempunyai reka bentuk ringkas itu terdiri daripada sebuah kiub kayu kecil yang dipasangkan tombol kelantangan dan bersambung dengan fon telinga.

Cara ia berfungsi tidak diterangkan dengan jelas, tetapi alat bantuan pendengaran tersebut kelihatan seperti sebuah peranti yang menukarkan bunyi sekeliling menjadi bunyi lebih kuat yang boleh didengar melalui fon telinga.

Penemuan Chan yang dikongsi di Facebook itu mencetuskan reaksi positif daripada netizen.

“Beruntung si ibu mempunyai anak yang bijak dan prihatin,” kata Gurchaaran Singh di ruangan komen.

“Adik ipar saya juga seorang jurutera dan pandai mengaplikasi pengetahuannya dalam kehidupan. Sangat menarik melihat dia membantu ibu saya menggunakan pengetahuan kejuruteraannya,” kata seorang lagi pengguna media sosial, Swee Ho Chan.

Para pengguna media sosial juga merujuk kepada alat DIY seperti ini yang dapat mengurangkan kos alat bantuan pendengaran komersil, dan berharap supaya kerajaan Singapura dapat membantu pihak-pihak tempatan seperti jurutera tersebut untuk mengembangkan bakatnya di rantau ini.

“Sangat bagus melihat dia berusaha ke arah kebaikan Singapura!” kata Kay Watters di ruangan komen.

Singapura adalah pengeksport alat-alat berteknologi tinggi keempat terbesar di dunia, di belakang Amerika Syarikat, China dan Jerman, pada 2017.

Lebih terkini, industri kejuruteraan ketepatannya giat berkembang di kala zaman ekonomi masa kini yang mencabar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.