
Kemungkinan besar ramai di antara mereka tidak dapat bersama-sama meraikan percutian tersebut bersama keluarga.
Oleh itu, perkara yang tepat perlu dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah dengan mengucapkan terima kasih kepada wira-wira ini, walaupun ia hanya ‘hadiah penghargaan’ kecil buat mereka.
Inilah yang dilakukan oleh Jesse-Lyn Low, 25, apabila dia memutuskan untuk memanfaatkan bakat seninya dengan melukis potret ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Dalam sebuah video yang dimuat naik dalam media sosialnya, pakar pemasaran digital ini dilihat sedang menghasilkan karya seninya dengan cara yang luar biasa. Lukisannya dilukis dalam keadaan terbalik.
Di akhir video berdurasi 37 saat itu, dia membalikkan kanvas untuk mengungkap subjek karyanya – menampakkan wajah ketua pengarah kesihatan Malaysia.
Sejak itu, videonya menjadi viral, ramai yang terpukau dengan kemahiran seninya. Sehingga ada yang pelik dengan cara dia melukis subjeknya secara terbalik.
Ketika dihubungi oleh FMT, wanita yang berasal dari Penang ini menjelaskan bahawa dia sudah lama berminat dengan seni lukis sejak di bangku sekolah lagi.
“Seni selalu menjadi minat saya sejak dulu lagi. Di sekolah, lukisan saya sering dipaparkan di majalah sekolah,” katanya.
Sewaktu menjalani program khidmat negara, sebuah bengkel telah menemukan bakat seninya melukis secara terbalik.
“Ketika berusia 21 tahun, saya mengambil bahagian dalam pertandingan Miss Astro Chinese International Pageant dan membuat lukisan terbalik pertama saya.
“Tetapi apa yang lebih menarik ialah saya melakukannya ketika bermain ‘roller skating’!” ujarnya.
Menurut Low, kaedah melukis terbalik ini bukanlah suatu gimik. Sebenarnya ada alasan ilmiah untuknya: Dengan melukis cara terbalik, dia dapat merealisasikan apa yang dibayangkan dalam kotak fikirannya dengan tepat.
Kaedah ini juga telah menarik minat penonton yang tidak dapat menentukan subjek lukisannya sehingga ia diterbalikkan setelah siap.

Setelah pertandingan berakhir, dia kembali kepada kolej dan kariernya, tetapi akhir-akhir ini, dia mempunyai sedikit masa lapang untuk mempraktikkan kemahiran seninya.
Dan dari masa lapang itulah muncul potret Dr Noor Hisham.
Lukisan itu mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk disiapkan dan ketika dia menyiarkan video lukisan tersebut di laman sosialnya, dia tidak menyangka ia berjaya meraih perhatian ramai.
Sebelum tidur, Low telah memuat naik video tersebut di laman Twitternya dan tidak langsung memikirkannya kerana dia tidak mempunyai ramai pengikut.
Namun, keadaan berubah pada keesokan harinya ketika dia melihat kembali paparan lukisan itu menjadi viral dalam semalaman.
“Saya benar-benar terkejut” katanya.
Ketika ditanya mengapa dia memilih Noor Hisham sebagai subjek lukisannya, dia mengatakan bahawa dia menganggap lelaki tersebut tidak mementingkan diri dan begitu bekerja keras untuk negara.
“Dan untuk itu, sebagai satu penghormatan buatnya, saya melukis potretnya sekaligus sebagai penghormatan buat semua petugas barisan hadapan yang mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk negara,” ujarnya.
Memandangkan kemungkinan Noor Hisham akan menonton video tersebut, FMT bertanya kepada Low jika ada yang ingin disampaikan kepadanya.
Dia menjawab: “ Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih dan saya bersyukur atas semua kerja keras dan pengorbanan yang dilakukan kepada negara!”
Selain itu, Low turut memesan kepada semua rakyat Malaysia untuk mematuhi SOP dan PKP seperti yang dikatakan Dr Noor Hisham, “ini adalah masa yang sangat penting untuk kita semua melawan Covid-19”.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]