
Sebut saja filem Fast and Furious, anda pasti terbayang kereta-kereta lumba yang mengkagumkan.
Bagi peminat kereta lumba tentunya teruja dengan kereta-kereta seperti “Dodge Charger” yang dipandu Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel), Nissan Skyline GT-R, Toyota Supra berwarna jingga, serta Mazda RX-7 Veilside yang dikemudikan Han Lue (lakonan Sung Kang).
Tetapi lebih menarik, apabila seorang lelaki dari Edmonton Alberta, Kanada, memiliki 24 buah replika kereta dari filem tersebut.
Selain mempunyai keempat-empat replika di atas, Jorge Acosta turut mempunyai koleksi Mitsubishi Eclipse, Spyder, Evo, Nissan 350 Z, Volkswagen Jetta, Honda S2000, Subaru WRX STI, hingga Ford F-150 SVT Lightning.
“Segalanya bermula apabila saya begitu mengimpikan Mitsubishi Eclipse hijau dan saya terus membuat replikanya tiga tahun lalu,” ujar Acosta.
Salah satu koleksi replika yang menyamai rekaan asal merupakan model Nissan Skyline R34 GT-R Bayside Blue dipandu Paul Walker dalam Fast and Furious 4.

Selain itu, Acosta turut memiliki jentera Skyline GT-R berwarna perak dan biru sama seperti yang digunakan ketika filem 2 Fast 2 Furious.
Kenderaan lain yang menarik perhatian termasuk Supra berwarna jingga digunakan Walker dan VW Jetta dipandu Jesse pada filem pertama.
Menurut Acosta lagi, pada mulanya dia tidak berniat untuk menjadi pengumpul replika kereta Fast and Furious terbanyak di dunia tetapi lama-kelamaan ia menjadi seperti hobi dan dia terus bersemangat untuk mengumpulnya.
“Saya mula mengumpul replika kereta ini apabila pertama kali menonton filemnya. Kemudian, saya mencari penasihat dan sumber filem tersebut, Craig Lieberman untuk mendapatkan informasi mengenai kereta-kereta tersebut.
“Dari situ saya mula membeli dan mencipta agar ia serupa dengan kereta yang ada di dalam filem Fast and Furious,” ujarnya lagi.
Acosta turut merancang untuk menambah koleksinya menjadi 35 buah replika lagi. Dia menjelaskan banyak kenderaan yang dibeli diimport terus dari Jepun.
Replika terbaharu pada koleksi Jorge, merupakan Toyota Supra 2020 yang bakal membuat kemunculan dalam francais terbaharu filem ke-9.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]