Orkid, cantik di mata, mudah dijaga

Orkid, cantik di mata, mudah dijaga

Orkid ditanam dalam iklim yang panas dan lembap serta amat popular di kalangan peminat flora di Malaysia.

Memelihara orkid adalah salah satu terapi minda dari kesibukan kerja setiap hari. (Gambar Rawpixel)

Orkid merupakan salah satu tanaman hiasan yang popular di Malaysia. Dengan iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun, Malaysia merupakan tempat taburan hidupan orkid liar yang mencapai ribuan jenis.

Orkid amat popular di tanam di kalangan penggemar flora kerana saiz, struktur dan warna bunga yang pelbagai.

Antara yang paling digemari oleh peminat orkid ialah Oncidium, Phalaenopsis, Dendrobium, Cattleya, Arachnis, Vanda, Rananthera, Aeridovanda, Aeridanchis, Aranda, Arachnopsis, Burkillara, Christieara dan Doritaenopsis.

Ia tidak sukar ditanam dan cara penjagaannya juga hampir sama dengan pokok hiasan lain. Bagi penggemar atau mereka yang baru berjinak-jinak dalam hobi memelihara orkid, penjelasan di bawah mungkin boleh membantu.

Cara Tanam Orkid

  1. Sediakan arang atau sabut kelapa. Jika tiada, boleh juga menggunakan pecahan batu bata. Pastikan saiznya kecil dan muat untuk diletakkan di dalam pasu. Bagi orkid jenis memanjat, arang adalah medium paling sesuai. Sebelum menanam, pecahkan arang dan rendam semalaman untuk menghilangkan garam yang biasanya terdapat pada kayu bakau (arang).
  2. Sebelum memasukkan batang pokok orkid, pastikan akarnya yang kering dipotong terlebih dahulu agar akar baru dapat tumbuh dengan baik dan sihat.
  3. Masukkan arang tadi sebanyak ¾ ke dalam pasu anda. Kemudian ambil orkid dan letakkan ke dalam pasu. Letakkan baki arang sehingga batang pokok orkid menjadi tegak dan seimbang. Boleh juga menggunakan baja organik untuk menguatkan akar orkid.
  4. Kemudian, siram 2 kali sehari. Sekali sekala berikan baja yang secukupnya.

Tips Penjagaan

Gunakan serbuk kayu sebagai campuran bersama arang dan batu bata kerana serbuk kayu boleh meresap kadar air siraman dan bertahan lebih lama. Kebanyakan orkid yang ditanam mengunakan arang, pecahan batu bata serta serbuk kayu adalah jenis orkid dendrobium, vanda, cattleya dan phalaenopsis.

Siram bunga orkid secara teratur. Sekali pagi dan sekali petang. Ia dapat menyuburkan lagi bunga orkid anda. Jangan siram secara berlebihan atau pada lewat petang kerana dikhuatiri air akan bertakung di dalam daun dan menjadikan daun dan batang menjadi lembik.

Gunakan kulit pisang sebagai baja tambahan. Untuk mendapatkan bunga yang cantik, letakkan kulit pisang di dalam pasu bunga orkid tersebut.

  • Pecahkan batu bata, arang mengikut saiz yang sesuai dan masukkan ke dalam pasu. Susun atur di bahagian bawah dengan pecahan batu bata yang besar serta selang-selikan bersama arang yang kecil.
  • Pengudaraan dan pencahayaan juga penting. Orkid sesuai ditanam di luar rumah yang teduh dan berangin.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.