Festival Filem Eko KL, medan pejuang perubahan iklim dunia

Festival Filem Eko KL, medan pejuang perubahan iklim dunia

Edisi ke-14 yang dianjurkan secara maya ini berlangsung sehingga Sabtu dan menampilkan 95 buah tangan dari seluruh dunia.

‘Once Upon A River: Bangladesh’s Delta Disaster’ oleh Shehzad Hameed Ahmad antara filem menarik yang ditayangkan di Festival Filem Eko Kuala Lumpur tahun ini. (Gambar KLEFF)
PETALING JAYA:
Festival Filem Eko (KLEFF) Antarabangsa Kuala Lumpur edisi ke-14 secara maya buat kali yang kedua berturut-turut kini sedang berlangsung.

Acara bukan bertujuan meraih keuntungan ini dianjurkan oleh EcoKnights, sebuah NGO alam sekitar tempatan, dan akan berlangsung sehingga Sabtu.

Pas masuk berharga RM80 akan dikenakan, tetapi anda boleh mendapatkannya dengan harga hanya RM50 jika membuat pembelian hari ini.

Festival kali ini mempersembahkan 95 filem dari seluruh dunia, dari filem cereka, dokumentari, filem pendek dan animasi sehinggalah kepada pengumuman perkhidmatan awam.

Dengan tema “Perubahan Iklim (Diri Sendiri)”, filem-filem kali ini memaparkan kisah individu di seluruh dunia dan bagaimana mereka mendepani perubahan iklim dengan cara mereka sendiri.

“Melalui filem-filem tersebut, kami berharap orang ramai akan mendapat inspirasi untuk bertindak memerangi perubahan iklim,” kata pengurus projek KLEFF Nurul Nabila Shohimi kepada FMT.

‘For Tomorrow Paradise Arrives’ oleh Anna Hints dari Astonia adalah satu lagi filem mesti tonton di festival kali ini. (Gambar KLEFF)

Walaupun festival kali ini tidak menerima penyertaan semeriah tahun sebelumnya akibat pandemik, ia telah menyaksikan peningkatan dalam bilangan dan kualiti kandungan tempatan.

“Menariknya, kebanyakan daripada filem kali ini adalah sentuhan saintis,” dedah Nabila, sambil menambah ia sekali gus mendorong EcoKnights untuk menghasilkan Seeds for Stories, satu platform yang bertujuan untuk menyatukan komuniti saintifik dan kreatif.

“Komuniti saintifik mempunyai semua maklumat, tetapi mereka biasanya memerlukan bantuan daripada komuniti kreatif untuk menyampaikan aspek teknikal secara berkesan kepada orang ramai,” jelasnya.

Selain membantu mengekalkan kewujudan KLEFF, sebahagian daripada hasil jualan tiket akan digunakan untuk membiayai bengkel pembinaan kapasiti Seeds for Stories.

Setiap pembelian pas adalah termasuk keahlian premium KLEFFlix selama tiga bulan, platform tayangan digital festival, yang membolehkan penonton mengakses semua filem yang ditayangkan dalam festival sebelumnya.

Platform ini juga menyediakan akses umum percuma kepada filem alam sekitar yang telah dipilih dan disusun.

Di samping itu, pemegang pas juga boleh menghadiri empat sesi ceramah maya yang dianjurkan oleh Pameran & Persidangan Produk Greentech & Eko Antarabangsa Malaysia.

Ia akan menyentuh mengenai aktiviti sukarelawan, pemuliharaan air, pemerkasaan belia dan pembangunan mampan, di samping temu bual dengan pengasas EcoKnights Yasmin Rasyid dan pengarah program Fadly Bakhtiar.

Barisan filem yang mesti ditonton tahun ini termasuk:

  • ‘Djibril’s Forest’ oleh Thomas Ceulemans (Belgium)

Sebuah filem pendek menceritakan mengenai Djibril, mengembara mencari hutan ajaib yang pernah diceritakan datuknya sejak sekian lama.

  • ‘For Tomorrow Paradise Arrives’ oleh Anna Hints (Estonia)

Dokumentari pendek menceritakan mengenai ibu-ibu muda yang mencari makanan untuk keluarga di tong-tong sampah pasaraya tempatan, dalam usaha menyelamatkan alam sekitar dan masa depan anak-anak mereka.

  • ‘CO2? CO-Nee!’ oleh Joep van Dijk (Belanda)

Filem cereka sentuhan pakar iklim ini memaparkan Joep yang mengembara dari Amsterdam ke Colorado menaiki kapal layar, bas dan basikal.

  • ‘Roads To Our Heritage’ oleh Din Hormatov (Malaysia)

Dokumentari yang memaparkan kumpulan rock dari Sabah, Estranged, Alena Murang dan Dr Nadia Widyawati dari fakulti muzik UiTM, meneroka warisan muzik tradisional di Sabah.

  • ‘Birthplace’ oleh Sil van der Woerd dan Jorik Dozy (Malaysia)

Diterbitkan oleh Sean Lin, video muzik ini menampilkan keajaiban dunia di bawah permukaan air, selain sampah sarap yang mencemarinya.

  • ‘50 Shades of Green: The Complex Story of Palm Oil’ by Khayriyyah Mohd Hanafiah dan Andy Siti Nurhidayah Rahim (Malaysia)

Dokumentari oleh Pergerakan Minyak Sawit Lestari ini memaparkan perspektif daripada ahli ekologi, NGO dan pemain industri, serta masyarakat yang mata pencariannya bergantung kepada minyak sawit.

Nabila berharap filem yang disenaraikan itu akan memberi inspirasi kepada pembikin filem lain untuk mencipta lebih banyak kandungan.

“Membeli pas festival ini akan membantu mengembangkan bakat tempatan serta membongkar lebih banyak cerita mengenai alam sekitar,” katanya.

Beliau juga berharap orang ramai akan mendapat inspirasi daripada individu dan komuniti yang cuba mencipta perubahan mengikut kapasiti mereka.

“Biarpun kecil namun membantu; ini bermakna anda sudah pun menuju ke arah kelestarian,” tambahnya.

Dapatkan pas penyertaan anda ke Festival Filem Eko Antarabangsa Kuala Lumpur ke-14 melalui laman webnya. Maklumat lanjut juga boleh didapati di halaman Facebook KLEFF.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.