
Bagaimanapun, berbekalkan semangat yang tinggi penyanyi lagenda, Jamal Abdillah, 62, bertekad untuk memulakan perniagaan kosmetik dan melancarkan produk kecantikan Zarania.
Jenama kecantikan itu menawarkan sembilan rangkaian produk antaranya Lip Paint Matte, Eyeshadow, Mineral Pressed Powder dan Cream Magic.
Menurut Jamal, idea menceburi bidang kecantikan ini tercetus apabila dia melihat hobi isterinya, Zai Izzati Khiruddin, 26, yang gemar berhias cantik dan bersolek setiap masa.
Jamal yang turut menjalankan perniagaan ikan Arowana itu, memilih Zahrah Rania Beauty Sdn. Bhd. sebagai rakan perniagaan kosmetiknya dan telah berkolabrasi bersama sejak Julai lalu.
Ia memandangkan syarikat tersebut memiliki reputasi tinggi apabila pernah mengeluarkan produk jenama Natasya yang mampu bertahan di pasaran lebih 10 tahun.

“Jadi saya jalin kerjasama dengan Zahrah Rania Beauty sebagai hadiah sempena kehamilan isteri saya, anak ketiga kami.
“Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini, namun saya akui perasaan bimbang tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang kosmetik,” jelas bapa kepada empat cahaya mata itu.
Jamal dan rakan kongsinya turut menyasarkan jualan bukan hanya di dalam Malaysia tetapi juga di Brunei, Indonesia serta Singapura.
Ujarnya lagi, sekiranya ada rezeki pada masa akan datang, pihaknya ingin mengeluarkan lebih banyak produk yang lazim digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Hari ini pun ramai golongan lelaki yang gemar memakai produk kosmetik dan mungkin selepas ini jenama Zarania akan keluarkan produk kosmetik untuk lelaki pula,” katanya.
Penyanyi lagenda ini turut bersyukur dengan rezekinya yang tidak putus-putus sejak Ogos lalu, seiring dengan berita kehamilan isterinya.
Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumahtangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Nur Azura Yamani yang dilahirkan pada 10 Okt 2019 dan El Issac Yamani pada 11 Nov tahun lalu.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal turut mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 15.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]