Kylie Jenner dan Travis Scott dikecam beli bas sekolah untuk anak

Kylie Jenner dan Travis Scott dikecam beli bas sekolah untuk anak

Menurut Kylie, anaknya Stormi teringin sangat menaiki bas sekolah ikonik berwarna kuning itu.

Stormi dilihat meninjau bas sekolah ikonik miliknya yang dihadiahkan ayahnya, Travis Scott. (Gambar Instagram Kylie Jenner)

Instafamous, Kylie Jenner dan teman lelakinya Travis Scott dikecam hebat warganet selepas mengejutkan anak perempuan mereka, Stormi dengan menghadiahkan sebuah bas sekolah.

Pasangan muda itu bertindak demikian kerana cuba memenuhi impian Stormi untuk menaiki bas sekolah.

Bintang program realiti Keeping Up With The Kardashians itu berkongsi video dan gambar di InstaStory anak perempuannya Stormi, 3, yang dilihat sedang menjelajah bas sekolah ikonik berwarna kuning.

Dia turut mendedahkan kepada 261 juta pengikutnya bahawa Stormi cukup obses dengan bas tersebut.

Dalam salah satu klip video tersebut, kanak-kanak itu dilihat meninjau lorong dalam bas miliknya itu sambil mengenakan kemeja-T Space Jam.

“Stormi selalu sangat bercakap tentang menaiki bas sekolah berwarna kuning. Jadi ayahnya mengejutkan dia,” tulis Kylie.

Perkongsian itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi, apabila Kylie dan Travis dikritik hebat susulan tindakan ekstravaganza yang melampau itu.

“Orang kaya memang menjengkelkan, kalau anak kau nak sangat naik bas sekolah, bagilah dia naik dengan rakan sekelasnya,” kata seorang pengikut di Twitter.

“Pelik sungguh, bukan ke tujuan bas sekolah ini untuk anak-anak berseronok bersama kanak-kanak lain,” komen yang lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.