
Ketika The Conjuring pertama kali dilancarkan pada tahun 2013, ia diterima baik oleh para pengkritik dan penonton, menjadikannya antara filem seram yang menjana pendapatan terbaik dekad ini.
Ia merupakan pencapaian yang cukup bermakna buat pengarah kelahiran Malaysia, James Wan yang cukup terkenal dengan jolokan ‘Raja Filem Seram Moden’.
Sejak itu, The Conjuring disusuli oleh beberapa lagi sekuel dan ‘spin-off’, masing-masing cemerlang dalam ertikata yang tersendiri.
Walaupun Wan tetap terlibat dalam francais seterusnya, peranan sebagai sutradara diteruskan oleh seniman berbeza untuk setiap filem berikutnya.
Oleh itu, dengan pelancaran The Conjuring: The Devil Made Me Do It tidak lama lagi, tugas berat The Conjuring kini dipikul oleh Michael Chaves.
Chaves bukanlah nama asing dalam francais itu, edisi keenam, The Curse of La Llorona pada tahun 2019 merupakan sentuhannya.
Banyak yang perlu ditanggung pengarah yang baru meningkat naik itu, lebih-lebih lagi selepas berdepan hakikat bahawa The Curse of La Llorona adalah francais yang menerima ulasan paling teruk dengan hanya 28% kadar penerimaan di Rotten Tomatoes.

Pengkritik rata-rata berpandangan Chives terlalu bergantung kepada elemen ‘jump scare’, pasti ada yang tertanya-tanya adakah dia terasa hati dengan maklum balas terhadap filem terbarunya.
Ia benar-benar terserah kepada penonton dan pengkritik untuk menentukan sebaik The Conjuring: The Devil Made Me Do It muncul layar putih dengan syarat pawagam di Malaysia dapat dibuka terlebih dahulu.
Berlatarkan sekitar tahun 1981, filem ini terus mengikuti Ed dan Lorraine Warren, protagonis dan pasangan penyiasat paranormal ketika mereka melakukan satu lagi upacara menghalau hantu.
Walau pada mulanya ia kelihatan seperti satu kes yang membabitkan kerasukan, semakin lama semakin jelas ada sesuatu yang lebih besar menanti mereka.
Tidak lama kemudian, bermulalah babak seperti kucing sedang mengejar tikus antara pasangan Warrens dengan seorang pemuja syaitan, walau agak kabur siapa sebenarnya kucing dan tikus tersebut.
Satu perkara tentang filem ini adalah kadang-kala ia menyimpang dari sebuah filem seram kepada misteri pembunuhan.
Walaupun ia mampu menarik peminat yang menyukai sedikit elemen misteri dalam filem seram, namun ianya memang tidak cukup menyeramkan.

Semestinya, ada beberapa babak menakutkan seperti yang diharapkan dari sebuah filem seram; semuanya dari orang kerasukan yang bergerak dengan cara luar biasa kepada wajah-wajah yang seolah menekan untuk keluar dari tilam.
Masalahnya ialah momen-momen menakutkan ini seolah diganggu oleh babak perbualan biasa dan interaksi karakter.
Akibatnya, pada saat elemen seram berikutnya muncul, penonton tidak lagi merasakan semua ketakutan itu.
Hakikat bahawa sebahagian besar elemen seram yang terdapat dalam filem ini sama sekali tidak hebat, memang tidak membantu.
Sebaik sahaja anda melihat satu klise dalam filem seram, anda sebenarnya telah melihat semuanya.
Mungkin anda akan merasa gelisah pertama kali melihat lampu berkedip-kedip untuk mendedahkan satu lembaga yang berdiri di latar belakang.
Namun untuk kali kedua, anda sudah dapat membaca bagaimana semuanya akan berlaku sehinggakan sukar untuk ditakutkan selepas itu.

Selain itu, ketika filem ini menghampiri klimaksnya, pasukan penulis seolah lupa bahawa rahsia untuk watak jahat yang baik adalah memastikan mereka mempunyai personaliti yang menarik.
Dalam aspek tersebut, karya ini gagal memuaskan kerana penonton secara tidak sengaja hanya diperkenalkan kepada watak jahat pada 30 minit terakhir filem ini.
Identiti mereka seolah datang entah dari mana, dan tidak dibangunkan secukupnya, motivasi mereka juga agak sukar untuk dimengertikan dan kadang-kala, mereka nampaknya lebih kepada plot berbanding watak.
Memandangkan terlalu banyak perkara yang tidak baik dikatakan mengenai penulisannya, penonton mungkin membuat kesimpulan bahawa filem ini tidak wajar ditonton.
Namun begitu, terdapat beberapa kualiti yang mampu menebus kekurangan filem ini yang menjadikannya tidak wajar untuk dilepaskan.
Pertama, persembahan Patrick Wilson dan Vera Farmiga sebagai Ed dan Lorraine Warren yang tidak pernah mengecewakan.
Ada sesuatu tentang hubungan kimia gandingan ini di skrin menjadikan mereka sedap dipandang tiap kali bersama.
Sebenarnya, filem ini kadangkala lebih memfokus kepada hubungan Warrens berbanding ketakutan, sehingga anda lupa bahawa filem itu sebenarnya adalah filem seram dan bukannya drama.
Persembahan aktor lain juga patut dipuji, seperti penghayatan Ruairi O’Connor, yang membawa watak Arne Johnson, seorang lelaki yang dirasuk kuasa syaitan.
Wataknya cukup menyenangkan buat penonton untuk mencetuskan minat, itu sudah semestinya memandangkan kepentingannya kepada plot.
Ketika melakonkan episod ganas dan mengganggu, sesiapa pun akan benar-benar percaya bahawa dia sedang dirasuk dan kuasai oleh beberapa makhluk jahat yang bukan dari alam ini.
Sama ada ia cukup untuk menyelamatkan The Conjuring: The Devil Made Me Do It sebagai filem seram yang baik adalah persoalan lain.
Apa yang pasti filem ini sememangnya tidak dapat menandingi kejayaan edisi terdahulunya dari segi elemen seram, namun persembahannya di layar mungkin berbaloi untuk dinikmati.
Walau apapun, ia bergantung kepada penonton untuk memutuskan; apabila pawagam akhirnya diberi lampu hijau untuk dibuka semula.
Strim atau muat turun ‘The Conjuring: The Devil Made Me Do It’ bermula esok di HBO GO melalui peranti anda atau Astro.
Serta jangan ketinggalan wawancara FMT dengan pelakon utama Patrick Wilson dan Vera Farmiga esok.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]