“Oksigen tidak stabil, mohon doakan Sarah dan anak dalam kandungan”, Shuib

“Oksigen tidak stabil, mohon doakan Sarah dan anak dalam kandungan”, Shuib

Pelakon Shuib memohon agar semua dapat mendoakan keselamatan isteri dan anak dalam kandungan Sarah selepas terpaksa dimasukkan ke ICU.

Foto tangkap layar yang sempat dikongsi Shuib ketika membuat panggilan video sebelum Sarah dimasukkan ke ICU pagi ini. (Gambar instagram)

Pelawak dan pelakon Shuib Sepahtu dalam hantaran di Instagram rasminya pagi ini berkongsi perkembangan terkini isterinya, Siti Sarah Raisuddin selepas terpaksa dimasukkan ke ICU dan memohon agar semua dapat mendoakan keselamatan isteri dan mereka sekeluarga.

Siti Sarah, 36 yang sarat hamil tujuh bulan terpaksa dikejarkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) semalam selepas mengalami batuk dan sesak nafas.

“Assalamualaikum Salam Jumaat semua, pagi tadi isteri saya telah dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tak berapa stabil dan keadaan dia yang tak berapa baik.

“Saya mohon dihari baik, hari Jumaat, doakan Sarah dan anak dalam kandungan, semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka. Semoga Allah merahmati kita semua, Amin,” kata Shuib dalam perkongsiannya di IG @shuibsepahtu.

Dalam hantaran berbeza di akaun Instagram rasmi @sitisarahraisuddiin semalam, penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu turut meminta orang ramai mendoakan keselamatan dirinya dan bayi sebelum dimasukkan ke ICU.

“Doakan Sarah dan baby, terima kasih semua,” katanya ringkas sambil berkongsi video ringkas bersama anak-anaknya berdurasi 14 saat sebelum dikejarkan ke hospital.

Perkongsian yang ditonton lebih 720,000 warganet itu turut mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk rakan artis dan media yang turut mendoakan kesihatan dan kesembuhan Sarah sekeluarga.

Terbaharu dalam satu hantaran di Instagram, Shuib turut memaklumkan bahawa isterinya akan ditidurkan dan Sarah mungkin akan menjalani pembedahan mengeluarkan bayi sekitar jam 2 petang hari ini.

“Kalau tahap oksigen okey barulah akan diteruskan pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan.

“Tapi yang paling getir buat saya adalah dia akan dikomakan,” ujar Shuib sambil menangis dalam video yang turut dikongsikan dalam Instagram rasmi Indigital Music.

Menurut pengurus Siti Sarah, Nana Mohd. Rom, dikatakan pembedahan tersebut dapat menyelamatkan Sarah dan bayinya.

“Terima kasih atas doa semua. Semoga Allah memperkenankan doa hamba-Mu ini,” ujarnya.

Difahamkan Sarah yang sepatutnya sudah memotong gelang kuarantin semalam, mengalami batuk dan sesak nafas sehingga terpaksa dibawa ke hospital menaiki ambulans petang semalam.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, Sarah dan tiga anak mereka disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas pembantu rumah mereka disahkan positif wabak itu.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumahtangga pada 2011 dan dikurnia tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzakira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.