
Penyanyi popular Amerika Syarikat, Pink menawarkan bantuan terhadap pasukan bola baling pantai wanita Norway yang didenda enggan mengenakan seluar bikini ketika perlawanan European Beach Handball Championship baru-baru ini.
Dalam ciapannya di Twitter Sabtu lalu, penerima anugerah Grammy berusia 41 tahun itu mengumumkan dia sanggup membayarkan denda yang dikenakan ke atas 10 anggota pasukan wanita tersebut kerana enggan memakai seluar bikini dalam pertandingan tersebut.
“Saya sangat berbangga dengan pasukan bola baling pantai wanita Norway kerana membantah peraturan yang sangat seksis membabitkan seragam mereka.
“Persekutuan Bola Baling Eropah (EHF) yang sepatutnya didenda kerana bersifat seksis. Tahniah semua. Saya dengan senang hati ingin membayarkan denda anda itu. Teruskan usaha,” kata Pink dalam ciapannya.
Legenda tenis, Billie Jean King turut senada dengan Pink. Dalam ciapannya di twitter, King menyifatkannya sebagai bersifat seksis ke atas atlet wanita sedangkan atlet lelaki tidak perlu mematuhi peraturan yang sama.
“Pasukan bola baling wanita Norway dikenakan denda kerana mahu memakai seluar pendek berbanding seluar bikini. Seluar itu tidak boleh menutup ‘lebih daripada 10 cm di semua bahagian.’
“Pasukan lelaki pula memakai selur pendek, perlakuan seksi terhadap atlet wanita perlu dihentikan,” kata King.
Ketika Persekutuan Bola Baling Norway mengumumkan sokongan mereka terhadap pasukan itu, EHF melihatnya dari sisi berbeza.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan EHF pada 19 Julai lalu, suruhanjaya tatatertib telah mengenakan denda sebanyak 150 Euro kepada setiap pemain dengan keseluruhan membabitkan 1,500 Euro kerana mengenakan pakaian yang tidak sesuai.
Difahamkan pemain Norway beraksi memakai seluar pendek yang “tidak terkandung dalam syarat yang ditetapkan sebagai pakaian atlet dalam IHF [Persekutuan Bola Baling Antarabangsa] bagi undang-undang perlawanan bola baling pantai.
Terdahulu, pasukan itu berkongsi rasa terharu mereka di Instagram berikutan sokongan luar biasa yang diberikan oleh kalangan warganet di seluruh dunia.
“Kami juga sangat berbangga dengan pendirian kami ketika perlawanan merebut pingat gangsa untuk memakai seluar pendek berbanding seluar bikini. Kami sangat teruja dengan perhatian dan sokongan yang diterima dari seluruh dunia!
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menyokong kami dan membantu menyebarkan mesej ini! Kami benar-benar berharap ia akan mengubah peraturan yang tidak masuk akal ini!” kata hantaran tersebut.
Hantaran itu turut menampilkan kempen #Letthemwearshorts.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]