Pelakon Prebet Lapok, Tawil meninggal dunia

Pelakon Prebet Lapok, Tawil meninggal dunia

Tawil, 69, meninggalkan dunia akibat sesak nafas di rumahnya di PPR Sri Aman, Kepong awal pagi tadi.

Allahyarham Tawil banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an. (Gambar Facebook)

Pelakon veteran filem Prebet Lapok, Tawil, 69, meninggalkan dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi hari ini.

Isteri Allahyarham, Azah Abdul Kahar, 62 berkata, Tawil atau nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad mengalami sesak nafas teruk sepanjang minggu ini.

“Suami memang sudah lama ada semput atau sesak nafas. Cuma minggu ini makin teruk.

“Lebih kurang jam 1 pagi tadi dia sesak nafas teruk. Dia mencangkung dekat meja makan. Jadi, saya menghubungi ambulans. Dalam masa sama saya minta tolong jiran angkat dia ke katil.

“Ketika itu, saya sempat kesat air liur dia. Kemudian dia pandang saya dan terus pejam mata. Dia macam orang tidur. Jiran kata nadinya sudah tak kuat. Rupa-rupanya waktu itu dia sudah nazak. Apabila pegawai perubatan sampai, dia periksa dan suami sudah tiada,” katanya lagi.

Azah yang tinggal berdua dengan suaminya di situ berkata, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik selain sesak nafas dialami.

“Kami memang tinggal berdua saja di rumah. Semua anak-anak duduk tempat lain. Suami tak ada pula tunjukkan perubahan sikap,” ujarnya lagi.

Menurut Azah, jenazah disempurnakan di Surau Al Hijrah PPR Sri Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ipoh.

Tahun lalu, Allahyarham antara 25 penggiat seni menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan veteran tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, unit kediaman didudukinya dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan bayaran RM35,000, sebelum arwah dan isteri berpindah pada Mac lalu.

Allahyarham Tawil banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta nama menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Aziz Sattar, bergandingan bersama bintang utamanya, AR Badul, Allahyarham turut membintangi filem hebat seperti Darah Satria, Setinggan, Da Di Du, Serampang Tiga, Penyamun Tarbus dan banyak lagi.

Kali terakhir anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu tampil menerusi telefilem Taubat Seorang Samseng pada 2013.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.