
Pelakon, Zarina Zainuddin terkejut besar apabila mendapati RM10,000 wang simpanan milik anak bongsunya, Adam, 15, hanya berbaki RM3 selepas digunakan untuk membeli tiga permainan video dalam talian.
Zarina ketika dihubungi berkata, dia hilang kata-kata apabila mendapati wang simpanan berjumlah RM23,000 untuk kegunaan pendidikan anaknya di masa depan itu kini hanya berbaki RM3.
“Selama ini, saya memang beri dia kad bank untuk mudahkan dia membeli data internet atau makanan dalam talian. Saya tak terfikir langsung yang dia akan menggunakan wang yang saya kumpul dalam akaun peribadinya untuk membeli permainan video itu.
“Menggigil satu badan apabila dapat tahu wang itu ‘lesap’. Adam mengaku dia membeli tiga permainan video dalam talian yang setiap satunya berharga RM3,000 hingga RM5,000,” katanya.
Terdahulu, Zarina berkongsi video di Instagram memperlihatkan Adam mengakui kesilapan yang dilakukan dan berasa kesal dengan tindakannya itu.
Bagaimanapun, akibat dikecam warganet yang mendakwa pelakon itu menjatuhkan air muka dan membuka aib anaknya, Zarina memadamkan video tersebut.
Jelas Zarina, dia tidak berniat untuk mengaibkan anak bongsunya itu sebaliknya mahu perkara ini menjadi iktibar dan teladan kepada ibu bapa lain.
“Saya muat naik video itu bukan suka-suka atau nak aibkan anak. Saya cuma nak bagi teladan supaya ibu bapa di luar sana mengawasi pergerakan anak-anak di rumah, lagi-lagi dalam keadaan sekarang ini macam-macam boleh berlaku.
“Saya kongsi supaya orang luar juga ambil langkah sama dengan memantau pergerakan anak masing-masing. Saya dah terkena, jadi saya tak mahu orang lain pun sama,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]