Ella sedia beri sokongan moral, bantu isu kemurungan

Ella sedia beri sokongan moral, bantu isu kemurungan

Ratu rock negara, Ella yang mengakui pernah dilanda kemurungan ingin menggunakan platform media sosial bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat untuk tangani isu berkenaan.

Ella menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi kesihatan mental di Malaysia ketika ini dan bersedia memberi sokongan moral untuk membantu menanganinya bersama. (Gambar Facebook)

Isu kesihatan mental sering menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini, lebih-lebih lagi ketika rakyat Malaysia semakin tertekan akibat penularan pandemik Covid-19.

Kerisauan turut disuarakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk ratu rock negara, Ella Aminuddin yang turut berkongsi satu hantaran petikan sebuah artikel mengenai statistik kes bunuh diri di Malaysia sebelum ini.

Menurutnya, maklum balas yang diterima daripada netizen mengenai perkongsian itu menunjukkan ramai sebenarnya berdepan isu sama secara senyap.

Penyanyi terbabit turut menceritakan pengalamannya lebih lanjut ketika berada di puncak kerjaya sambil mengakui ia bukanlah satu perjalanan yang mudah.

“Ella selalu rasa suram, lesu dan letih yang berpanjangan. Terlalu banyak tanda soal dalam kepala ketika itu.

“Namun Ella beruntung, waktu itu ada mak dan Jojie. Ella berterima kasih kepada mereka kerana kami sama-sama laluinya. Waktu itu Ella di puncak karier dan ia bukanlah satu perjalanan mudah.

“Cuma Ella sedih mengenangkan mereka yang laluinya sendirian sekarang. Be strong sayang,” tulisnya lagi.

Atas dasar itu juga, dia dan pasukannya bercadang untuk mewujudkan satu laman Facebook khusus untuk membantu pengguna media sosial berkongsi maklumat mengenai isu tekanan perasaan.

Ella berkata, segala nasihat dan maklumat yang dikongsi itu akan dilakukan berdasarkan panduan pakar supaya ia boleh dimanfaatkan oleh semua.

“Ella akan pastikan maklumat tepat daripada mereka yang berpengalaman untuk berkongsi nasihat percuma dan pelbagai tips (atas restu pakar) untuk kita aplikasi bersama.

“Buat anda yang berasa tertekan dan sering bimbang, tolong jangan terlalu risau, Ella dan pasukan akan sokong anda.

“Sekarang ini zaman susah, Ella dan Azhar juga banyak terkesan. Jadi, sama-sama kita tempuhi segalanya. Nama apa yang sesuai untuk laman Facebook itu? Sila komen dan mohon cadangan anda,” tulisnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.