
Bekas pemain bass kumpulan pop rock tempatan Spider, Tony Iskandar meninggal dunia awal pagi ini.
Berita pemergian Tony dikongsi oleh rakannya yang juga pemain gitar kumpulan Exists, Azhrul Nasir atau Along di laman Facebooknya kira-kira jam 3 pagi.
Difahamkan Tony meninggal dunia di Studio Rakaman Luncai Emas Sdn Bhd yang dimiliki oleh penyanyi dan komposer terkenal M. Nasir di Sungai Buloh.
“Inna Lillah Wa inna Ilayhi raji’un. Al fatihah buat Tony Iskandar telah meninggal dunia.
Saya sedang melawat jenazah di Luncai Emas dan menunggu pihak hospital tiba, semoga semuanya dipermudahkan urusan,” katanya.
Spider adalah antara kumpulan rock popular dalam negara yang mendapat didikan M. Nasir.
Ia turut dianggotai oleh Tam (vokalis), Nafie (pemain gitar), Aie (pemain gitar) dan Tony selaku pemain bass sebelum Allahyarham meninggalkan kumpulan berkenaan pada 2012 atas masalah kesihatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]