Anjing kudung Harith sudah ‘pergi’

Anjing kudung Harith sudah ‘pergi’

Anjing kudung dipelihara oleh Harith Iskander iaitu Marvella sejak tahun lalu, dilaporkan baru saja mati.

Harith memuat naik gambarnya bersama Marvella yang dianggap sebagai anjing istimewa paling penyayang. (Gambar Instagram)

Pengacara dan pelawak, Harith Iskander tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya susulan kematian seekor anjing kudung bernama Marvella, yang dijadikan sebagai anak angkatnya sejak pertengahan tahun lalu.

Anjing berkaki dua itu dipelihara dan dirawatnya selepas ia diselamatkan oleh seorang wanita beragama Islam, Nurul Ain Abdul Hamid.

Menerusi hantaran terbaru di akaun Instagram, Harith berkongsi kesedihan dengan pengikutnya mengenai berita kematian Marvella yang amat menghancurkan hati.

“Ia adalah hari yang menyedihkan dan dengan berat hati saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa Marvella tidak lagi bersama kami.

“Dia hadir dalam kehidupan kami pada Jun tahun lalu dan terus menjadi sebahagian daripada keluarga ini. Dia baik, berani dan sangat peramah. Dia seperti tidak sedar dengan keadaannya yang kudung.

“Kami berterima kasih kepada Nurul Ain kerana menyelamatkannya dan membolehkan ia bersama kami. Terima kasih Marvella kerana mengajar kami erti bersyukur. Terima kasih kerana membawa senyuman kepada kami,” tulisnya.

Sebelum ini, tindakan Harith yang memberi perlindungan terhadap haiwan itu menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen apabila ramai mempertikaikan perbuatannya memegang anjing.

Namun, ada sebahagian besar yang memberi sokongan positif terhadap usahanya menyelamatkan haiwan malang terbabit sekali gus memberi kehidupan baru kepada Marvella.

Pelawak itu pernah membuat satu hantaran di Instagram bahawa dia langsung tidak terkesan dengan kritikan orang ramai sambil menegaskan dia tetap seorang penganut agama Islam yang percaya dengan sikap kemanusiaan.

“Sejak mula lagi, kehidupan Marvella amat tragis. Dibiarkan dan didera, namun kemuliaan hati seorang insan, berjaya menyelamatkannya.

“Marvella adalah seorang pejuang dan biarpun permulaannya sukar, tetapi dia adalah haiwan paling penyayang.

“Jika saya dalam keadaan mampu untuk membantu anjing berkaki dua ini hidup lebih baik, saya akan membantunya kerana agama Islam yang saya percaya, membenarkan kita mempunyai sifat belas kasihan dan melakukan kebaikan,” tulisnya lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.