
Pengarah tersohor, Mamat Khalid sekali lagi mengulangi kejayaannya menerusi filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh 10 hari tayangannya.
Filem berunsurkan komedi itu diselitkan dengan jalan cerita menghiburkan selain lakonan mantap ditonjolkan oleh barisan pelakonnya.
Ia mengisahkan penduduk Kampong Pisang yang bersama-sama melakukan aktiviti memasak secara beramai-ramai sehari sebelum Raya.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem francais Kampong Pisang itu berjaya membawa penonton melupakan seketika tekanan yang dialami akibat pandemik Covid-19.
“Filem ini terus menerima sambutan positif. Bahkan, pelbagai subjek seperti babak, karakter, lagu menjadi bualan penonton di media sosial dan lebih mengujakan apabila ramai yang terhibur.
“Secara tidak langsung, filem ini membuktikan ia berjaya membawa penonton lari sekejap daripada tekanan, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.
“Jutaan terima kasih kepada semua penonton yang menonton di platform Astro First. Kami harap filem ini mampu menarik lebih ramai penonton dan peminat filem untuk menyaksikan salah satu filem terbaik tempatan untuk tahun 2021 dan terus kekal di rumah,” katanya.
Antara barisan pelakon filem itu termasuk Datuk Awie, Bell Ngasri, Kazar Saisi, Aziz M. Osman, Azraf, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deanna, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler, Siti Elizad Sharifuddin, Raja Azmi, Imuda, Ellie Suriaty.
Watak Yah Kuchai lakonan Afea dikatakan paling menjadi perhatian apabila berjaya membawakan wataknya secara bersahaja.
Sebelum ini, ia menjadi tular hingga mencetuskan bualan hangat di kalangan netizen menerusi babak terkenal Yah Kuchai dengan ‘mi kari kuah laksa’ dalam drama premium, Kampong Pisang Bersiri-Siri.
Disebabkan itu, wataknya dikembangkan menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang serta Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]