
Menyedari peningkatan kes Covid-19 yang semakin buruk di negara ini, pelakon, Fazura sempat menyampaikan coretan berbaur nasihat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.
Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 37, menggunakan kreativitinya dengan memuat naik pesanan berbentuk cerita pendek di laman Instagramnya sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar mengambil suntikan vaksin.
Hantaran itu juga dimuat naik bersama sekeping gambar yang menunjukkan gayanya sedang berbasikal di sebuah lokasi.
“Minggu depan, PKP akan mula di seluruh negara. Jadi, masa yang ada ni, Khadeja nak pergi kedai Uncle Lim, nak beli roti Gardenia. Nanti habis pula.
”Naik basikal sendirian ni, beriadah sambil hirup udara segar, penting untuk kita jaga kesihatan, fizikal dan mental.
“Sampai rumah Devi nanti, baru pakai topeng pelitup muka. Devi nak tumpang ke kedai Uncle Lim, jadi kami akan pakai topeng lah, untuk keselamatan kami, keluarga dan kampung. Fizikal dijarakkan tapi hubungan sosial dieratkan,” tulisnya.
Menerusi coretan sama, dia turut menyelitkan nama Mak Teh yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai keburukan suntikan vaksin hingga mencetuskan kemarahan Mak Kiah.
Fazura turut menggesa orang ramai supaya mendaftar segera untuk mendapatkan suntikan vaksin selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Jadi, masa PKP ni, patuhilah SOP, bantu frontliners. Ambil vaksin jika sudah daftar, dan daftar jika belum.
“Jaga kesihatan diri dan keluarga serta bantu para peniaga kecil. Bersama kita lindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada Covid. Oh, dan tolong doakan Mak Teh sedar diri dan selamat daripada Mak Kiah. Terima kasih semua,” tulisnya.
Sebelum ini, satu rakaman audio daripada seorang wanita yang menggelarkan dirinya ‘mak teh’ menjadi tular di media sosial kerana mendakwa vaksin yang ditawarkan kerajaan berisiko menyebabkan kematian.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]