Pelakon Jangan Ketawa, Rama meninggal dunia pagi tadi

Pelakon Jangan Ketawa, Rama meninggal dunia pagi tadi

Pemergiannya disahkan oleh Persatuan Seniman Malaysia dalam satu hantaran di Facebook.

Rama meninggal dunia di HKL pagi tadi. (Gambar Facebook)

Industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian seorang pelawak veteran dan pelakon era 90an, Ramassuntran Rengan, 57, di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 2 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Seniman Malaysia menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook mereka, hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu, Ramassauntran atau lebih dikenali sebagai Rama sebelum itu dihantar ke Unit Kecemasan HKL kerana mengalami bengkak pada kakinya sekitar jam 12 tengah malam.

Bagaimanapun kata mereka, pelakon sitcom Jangan Ketawa dan Spanar Jaya itu disahkan meninggal dunia sejam kemudian.

Mereka juga menjelaskan, pelakon itu mempunyai sejarah masalah jantung.

“Kita kehilangan seorang pelakon, pelawak, penyanyi, pengarah yang sangat berdedikasi dan komited dengan kerjanya.

“Hari ini Ramassuntran Rengan menghembuskan nafas terakhirnya dan meninggalkan kenangan manis kepada semua sahabat. Salam takziah buat isterinya, Kamala dan keluarga.

“Mendiang meninggal dunia di HKL antara jam 2 hingga 2.30 pagi tadi. Dia mengalami bengkak kaki dan dibawa ke Unit Kecemasan antara 12 hingga 12.30 tengah malam.

“Sejam kemudian, doktor mengesahkannya sudah tiada,” kata persatuan itu.

Beberapa tahun lalu, dia dilaporkan membuka sebuah syarikat produksi sendiri di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.

Pejabatnya terletak bersebelahan dengan sebuah klinik gigi yang dikendalikan oleh isterinya.

Sepanjang pembabitannya, pelakon yang dikatakan fasih berbahasa Mandarin dan Hokkien itu juga pernah membintangi 500 drama selain mengarah 300 drama.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.