Rizalman tutup syarikat 2 minggu, elak penularan Covid-19

Rizalman tutup syarikat 2 minggu, elak penularan Covid-19

Rizalman ambil langkah berkenaan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan yang berusaha menangani jangkitan Covid-19.

Kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagramnya. (Gambar Instagram)

Kes jangkitan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini menyebabkan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim mengambil tindakan untuk menutup syarikatnya selama dua minggu.

Makluman itu disiarkan menerusi satu hantaran kenyataan rasmi yang dimuat naik di akaun Instagramnya.

Menurutnya, keputusan itu juga akan membabitkan semua pekerja dan operasi penjualan mengambil kira situasi penularan virus Covid-19 ketika ini.

“Kami telah bersepakat melakukan penutupan dan penyekatan sementara penuh untuk semua pekerja dan penjualan di bawah RIC Group Sdn. Bhd. walaupun pihak kami telah berdaftar dan mempunyai pengiktirafan sijil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Penutupan dan penyekatan ini akan mengambil masa sehingga dua minggu atau sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak,” katanya.

Susulan penutupan itu juga, dia turut memaklumkan penjualan secara atas talian produk di bawah Rinetwork iaitu T’Neeq dan T’Neeq Junior akan dihentikan sementara.

“Penjualan atas talian produk di bawah Rinetwork iaitu T’Neeq dan T’Neeq Junior akan dihentikan sementara pada pukul 12 tengah malam tadi sehingga tempoh yang akan diberitahu kemudian.

“Penutupan dan penyekatan jualan ini adalah bertujuan mengambil kira keselamatan pekerja kami dan membantu mengurangkan penularan jangkitan wabak Covid-19,” ujar kenyataan tersebut.

Rizalman berkata keputusan itu dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan yang berusaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Biarlah kami laksanakan dahulu sebagai tanda sokongan untuk membasmi gejala ini demi kebaikan semua,” tulisnya.

Langkah diambil itu turut mendapat pujian netizen termasuk pengikut setianya di akaun Instagram yang rata-ratanya bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Kebanyakan daripada mereka berharap lebih banyak syarikat mengambil tindakan sama dan lebih bersikap peka terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja masing-masing.

“Aminn. Keputusan datuk memang bijak, langsung tidak mementingkan diri sendiri dan keuntungan,” tulis seorang netizen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.