“ALHAMDULILAH” Elite kembali

“ALHAMDULILAH” Elite kembali

“Alhamdulillah” mengisahkan tentang keinsafan insan yang berjaya mengharungi dugaan; disamping memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi walaupun menempuh cabaran sukar yang pastinya mendatangkan hikmah.

Kumpulan Elite yang popular satu ketika dahulu kini kembali dengan “Alhamdulillah”.
PETALING JAYA:
Kumpulan Elite sememang tidak asing lagi bagi peminat muzik tempatan di era 90-an dan terkenal dengan lagu-lagu seperti “Manisnya Senyumanmu”, “Tamparan Wanita”, “Trauma”, “Di Pintu Syurga”, “G.I.G” dan banyak lagi.

Kini, kumpulan ini kembali lagi dengan sebuah lagu berjudul “Alhamdulillah”, menggabungkan kesemua anggota asalnya iaitu Abby, Azza, Linda, Sasha dan Watie bersempena dengan ulang tahun ke-25 penubuhan Elite.

“Alhamdulillah” mengisahkan tentang keinsafan insan yang berjaya mengharungi dugaan; disamping memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi walaupun menempuh cabaran sukar yang pastinya mendatangkan hikmah.

Lagu yang liriknya ditulis oleh Noura manakala komposer adalah hasil gabungan Noura dan RayyanRayhan ini diilhamkan melalui pengalaman dan suasana berhadapan dengan pandemik Covid-19 serta cabaran ekonomi berkaitan dengannya.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Norman Abdul Halim, tawaran penerbitan lagu ini dengan gabungan anggota asal kumpulan Elite telah dibuat melalui satu perbincangan dengan Linda pada 18 Mac 2021.

“Pihak kami bersyukur kumpulan Elite telah menerima tawaran ini setelah beberapa hari tawaran tersebut dibuat.

“Saya juga amat berterima kasih kepada semua kesemua anggota Elite dan kakitangan KRU Music kerana telah berjaya menyiapkan gubahan lagu, rakaman lagu dan penggambaran video muzik dalam tempoh 7 hari saja, memandangkan Sasha akan pulang ke Abu Dhabi pada awal April,” ujar Norman.

Beliau turut berharap “Alhamdulillah” akan mendapat sambutan baik dari pendengar khususnya apabila ia dikeluarkan pada bulan Ramadhan ini.

“Lagu “Alhamdulillah” merupakan keluaran melalui label Islamik KRU Music iaitu Imaan Studios di mana genre muzik keluarannya bertumpukan pada lagu-lagu nasyid progresif dan ketuhanan,” katanya lagi.

Muzik video Alhamdulillah akan dilancarkan pada hari ini, 30hb April di saluran YouTube Imaan Studios dan kesemua platform digital.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.