
Penyanyi dan usahawan terkenal Dato’ Sri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada jam 6.21 pagi Isnin bersamaan 7 Ramadan 1442H.
Anak keduanya itu lahir dengan berat 3.84 kilogram menerusi kaedah pembedahan.
“Siti dan juga bayi berada dalam keadaan baik dan sihat. Suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta telah selamat melahirkan bayi kedua mereka,” ujar pihak pengurusannya, Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd melalui hantaran di Facebook.
Menurutnya lagi, apa yang penting buat suaminya adalah ibu serta anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan telah berjalan lancar.
Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas doa keluarga, saudara mara, sahabat handai, peminat, media dan orang ramai.
Pasangan itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak doktor dan jururawat yang diketuai oleh Dr. Leong Wai Yew dari Alpha IVF & Women’s Specialist yang telah menjalankan tanggung jawab dan khidmat terbaik sepanjang proses Siti melahirkan.
“Mereka juga berterima kasih kepada kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women’s Specialists, Datuk Dr. Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In Vitro Fertilization (IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak yang kedua ini juga.
“Kelahiran anak kedua pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini diharapkan akan mengurniakan limpahan rezeki serta rahmat Allah SWT,” ujarnya lagi.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan suami mendirikan rumahtangga pada 21 Ogos 2006 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun juga menerusi proses IVF.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]