
Menurut anak Allahyarham, Mohd Zainuddin Abu Bakar, 46, bapanya meninggal dunia akibat masalah jantung dan ada mengadu kepenatan beberapa hari sebelum ini.
“Kami ke hospital malam tadi selepas ayah mengadu kepenatan. Selepas diperiksa, doktor ada memaklumkan jantung ayah seperti ada masalah.
“Ayah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Malam tadi pun dia boleh berbual-bual lagi,” katanya.
Zainuddin memaklumkan jenazah bapanya akan diuruskan di kediamannya di Kampung Bukit Nyamuk Kuala Nerang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar, Kedah selepas solat Jumaat, hari ini.
Zainuddin turut meminta agar orang ramai mendoakan roh bapanya diampuni dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya, ditempatkan bersama orang solihin. Saya bagi pihak keluarga memohon maaf atas segala salah silap arwah ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini.
“Sekiranya ada hutang piutang ayahanda, mohon sudi berhubung dengan saya. Kami akan sentiasa merinduimu,” katanya.
Allahyarham Abu Bakar yang memulakan kerjaya lakonan sekitar 1981 adalah seorang pelakon berkarakter dan cukup terkenal dalam drama serta filem tempatan.
Antara filem pernah dibintangi adalah Fenomena, Cinta Kolestol, Hingga Hujung Nyawa, Duyung dan banyak lagi.
Abu Bakar juga pernah memenangi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) menerusi lakonan dalam dalam Senja Belum Berakhir pada Anugerah Sri Angkasa 1983 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) pada Anugerah Sri Angkasa 1990 menerusi drama radio Bukan Kerana Kasih.
Selain itu, Abu Bakar juga memenangi dua kali Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 1999 menerusi telefilem Mata Hati dan 2012 dalam telefilem Gincu Ayah.
Pada Festival Filem Malaysia pula, Abu Bakar pernah tercalon tiga kali menerusi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Bila Hati Retak (FFM 1983), Rentak Desa (FFM 1991) dan Hingga Hujung Nyawa (FFM 2005).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]