
Bintang Lizzie McGuire, Hilary Duff menimang cahaya mata yang ketiganya iaitu anak perempuan yang diberi nama Mae James Bair.
Berita gembira itu dikongsi oleh Duff dan suami, Matthew Koma menerusi sekeping gambar hitam putih yang dimuat naik di akaun Instagram.
Gambar tersebut menunjukkan Duff dikelilingi ahli keluarganya di sebuah kolam, yang mungkin menjadi tempat dia melahirkan bayi perempuannya itu dengan kaedah kelahiran dalam air.
“Mae James Bair. Kami sayang kamu 3-24-21,” tulis pelakon berusia 33 tahun itu.
Pada Jumaat lalu, Duff membuat hantaran di media sosial sebagai bayangan yang dia baru saja melahirkan anak sambil memuat naik gambar anak perempuannya yang berusia dua tahun, Banks Violet Bair, hasil perkahwinan dengan Koma.
Pelakon siri Younger itu juga mempunyai seorang anak lelaki berusia sembilan tahun, Luca iaitu hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Mike Comrie.
Duff yang melahirkan Banks pada 2018 menerusi kaedah kelahiran dalam air pernah berkata dia bersedia untuk melakukannya sekali lagi susulan berita kehamilan itu.
Baru-baru ini, pelakon itu memberitahu Yahoo Life bahawa dia melalui proses kehamilan yang agak teruk dan menghabiskan beberapa bulan untuk memberi fokus melakukan senaman.
Pada November pula, dia terdedah dengan virus Covid-19 dan terpaksa dikuarantin selama 14 hari selain mendapat jangkitan mata.
Duff dan Koma tidak tahu jantina bayi mereka sebelum dilahirkan kerana ingin membiarkannya sebagai satu kejutan buat mereka dan keluarga.
“Ketika melahirkan Banks, kami sudah mengetahui jantinanya sebelum dia dilahirkan dan ia adalah kenangan menyeronokkan.
“Bagaimanapun, kami merasakan ia kurang sesuai untuk bayi ketiga ini. Satu-satunya cara untuk membuatkan semua ahli keluarga berasa teruja dengan jantinanya ialah menunggu saja kelahiran bayi ini,” kata Duff kepada People pada Disember lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]