Filem ‘Black Widow’ ditayang serentak di pawagam dan Disney+ pada 9 Julai ini

Filem ‘Black Widow’ ditayang serentak di pawagam dan Disney+ pada 9 Julai ini

Jadual tayangan ‘Black Widow’ terpaksa ditunda dua bulan hingga Julai akibat Covid-19.

Tayangan ‘Black Widow’ terpaksa ditunda kepada 9 Julai akibat pandemik. (Gambar Marvel)

Disney terpaksa mengubah perancangan jadual tayangan untuk beberapa filem terbitannya termasuk ‘Black Widow’ dan ‘Cruella’ memandangkan situasi Covid-19 masih belum pulih sepenuhnya.

Rombakan besar-besaran jadual tayangan terpaksa dibuat membabitkan beberapa filem lagi iaitu ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings, ‘Luca’ dan filem lain.

Filem ‘Black Widow’ dan ‘Cruella’ akan ditayangkan serentak menerusi laman penstriman Disney+ dan pawagam.

Jadual tayangan filem ‘Cruella’ seperti ditetapkan iaitu 28 Mei manakala tayangan ‘Black Widow’ pula terpaksa ditunda dua bulan kepada 9 Julai berbanding sebelumnya, 7 Mei.

Kedua-dua filem itu ditawarkan menerusi Premier Access dengan bayaran AS$30 (RM123).

Perubahan jadual tayangan ‘Black Widow’ menyebabkan filem terbitan Marvel, ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’ yang sepatutnya ditayangkan pada awal Julai terpaksa ditunda kepada 3 September.

Manakala filem terbitan Pixar, ‘Luca’ tidak akan ditayangkan di pawagam tetapi disiarkan secara eksklusif menerusi Disney+ tanpa kos tambahan pada 18 Jun nanti.

Walaupun lebih memfokuskan kepada penstriman, Disney tidak merancang untuk mengabaikan terus tayangan filem mereka di pawagam.

Pengerusi Disney Media and Entertainment Distribution, Kareem Daniel berkata, pengumuman itu mencerminkan fokus mereka dalam menyediakan pilihan kepada pengguna.

“Dengan memanfaatkan strategi pengedaran yang lebih fleksibel dalam pasaran dinamik, ini adalah permulaan untuk pulih daripada situasi pandemik.

“Kami akan terus menawarkan pilihan terbaik kepada peminat dan keluarga seluruh dunia,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.