
Seorang mahasiswa berketurunan Indonesia berjaya menarik perhatian juri American Idol melalui nyanyiannya sewaktu sesi uji bakat hingga melayakkan dia menerima tiga “Yes” dan mendapat “golden ticket” untuk ke tahap seterusnya.
Dzaki Sukarno yang berasal dari New Mexico membawakan lagu “country” di hadapan Katy Perry, Lionel Richie, dan Luke Bryan. Sebelum ini, dia turut membawakan sebuah lagu “country” ketika uji bakat melalui zoom, menurut VOA Indonesia.
Dzaki mengakui agak gugup apabila berhadapan dengan tiga juri terkenal itu.
“Tidak ramai orang Indonesia yang menjalani uji bakat di American Idol, kerana itu saya gugup tetapi semangat. Saya tidak ingat apa-apa tentang uji bakat itu, saya masuk ke pentas dan saya tidak ingat tapa-apa lagi, tapi saya menikmatinya,” ujar Dzaki.
Selepas mendapat tiket emas, Dzaki akan kembali bersaing dengan para peserta lain di “Hollywood Week” pula.
Menurut Dzaki, dia mengikuti uji bakat tersebut atas galakan rakan-rakan sekampusnya dan tidak mahu mengecewakan mereka, mahasiswa jurusan Perniagaan Pertanian di New Mexico State University ini akhirnya mendaftar untuk uji bakat.
“Pada mulanya, saya tidak mahu tapi saya berjaya pada uji bakat zoom dan dari situ sekarang saya di sini. Jadi, alhamdulillah,” kata Dzaki.
Tidak seperti peserta lain, Dzaki memilih lagu “country” kerana minatnya terhadap muzik tersebut. Malah, penampilannya turut berbeza yang kerap berpakaian ala cowboy setiap kali berkumpul bersama rakan-rakan dari Indonesia.
“Keluarga saya dahulu memelihara haiwan dan kerap membawa saya ke festival country serta menonton rodeo,” ujarnya.
“Apabila bertemu orang-orang Indonesia seusia saya, saya akan memakai boots dan jeans serta topi cowboy,” kata Dzaki yang juga mendaftar sebagai anggota Tentera Udara Amerika Syarikat.
Penampilannya itu membuatkan ramai yang tidak percaya dia adalah orang Indonesia.
“Tapi saya senang saya berbeza, mewakili Indonesia dan muzik country,” jelasnya lagi.
Dzaki mengaku baru berjinak-jinak sebagai penyanyi profesional dan minatnya lahir dari kecil kerana kedua ibubapanya turut meminati muzik.
“Bapa sering bermain gitar dan ibu suka bernyanyi lagu Melly Goeslaw atau ST12. Dari situ saya jadi penyanyi, dan orang tua saya sangat menyokong minat saya ini,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]