Gadis bertuah dari Malaysia berduet bersama Lionel Richie

Gadis bertuah dari Malaysia berduet bersama Lionel Richie

Cheryl K yang menghadiri sesi ujibakat American Idol membuat permintaan untuk berduet dengan Lionel Richie menyanyikan lagu Endless Love.

Cheryl tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira sebaik bertemu Richie. (Gambar YouTube)
PETALING JAYA:
Sifat berani gadis ini akhirnya memungkinkan dia berduet bersama penyanyi tersohor dunia, Lionel Richie ketika hadir ke sesi uji bakat Amerika Idol.

Biar pun tidak terpilih, penyanyi berasal dari Malaysia, Cheryl K tetap teruja apabila impiannya menjadi kenyataan.

Cheryl atau nama sebenarnya Cheryl Koh yang menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat muncul dalam episod disiarkan pada 7 Mac lalu apabila dia membuat permintaan untuk menyanyi bersama Richie.

Richie yang juga merupakan juri di uji bakat tersebut tidak teragak-agak menerima perlawaan Cheryl lalu terus menyanyi baris pertama lagu hit Diana Ross pada 1981 yang bertajuk Endless Love.

Koh terus memberanikan diri menunjukkan bakat nyanyiannya sambil mengusap anjing kesayangan, Jimmy Choo yang dibawa bersama ke sesi uji bakat tersebut.

Persembahan bersahaja itu berjaya menyentuh hati Richie dan dua lagi juri American Idol, Katy Perry dan Luke Bryan yang memuji keberanian gadis itu.

Bagaimana Cheryl tidak terpilih ke peringkat seterusnya tetapi barisan juri tetap memberi sokongan untuk gadis itu terus mengejar impian.

Mereka turut memberi galakan supaya dia meningkatkan keupayaan mengawal suaranya ketika menyanyi.

“Anda membuatkan saya sebak dan membawa kenangan indah ke dalam memori saya.

“Tetapi anda akan bertanding dengan mereka yang memiliki suara hebat dan hati saya merasakan anda belum bersedia untuk bertanding dengan mereka lagi,” kata Richie.

Koh tidak mengalah dan menerima komen positif itu dengan baik sebelum melangkah keluar.

“Saya bangga dengan diri sendiri kerana berani mencuba dan bersyukur dapat menyanyi bersama Lionel Richie,” katanya.

Richie turut menandatangani rekod vinil Endless Love milik Koh sebagai cenderamata untuk gadis itu.

Penyanyi terkenal itu kemudian membuat hantaran klip uji bakat Koh di Twitter sambil mengatakan dia amat bertuah dapat bertemu Cheryl.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.