Gwyneth, jangan nak ‘memandai’ – NHS

Gwyneth, jangan nak ‘memandai’ – NHS

Pelakon ditegur menyebar maklumat salah mengenai rawatan Covid-19.

Pelakon itu mencadangkan beberapa kaedah termasuk puasa dan sauna untuk sembuh daripada kesan Covid. (Gambar Reuters)

Pelakon, Gwyneth Paltrow diminta menghentikan penyebaran maklumat salah mengenai Covid apabila dia mencadangkan ia boleh dirawat menerusi amalan puasa, koktel herba dan sauna infra merah.

Bintang Hollywood yang memasarkan produk yang tidak dibuktikan keberkesanannya di laman web Goop dalam satu hantaran terbaru blognya, menceritakan dia berjaya mengesan awal jangkitan Covid-19 dan mengalami keletihan serta sukar untuk fokus.

Menurutnya, selepas merujuk pengamal perubatan holistik, dia diberitahu tempoh penyembuhannya akan mengambil masa agak lama berbanding biasa.

Dia kemudian mengamalkan diet keto dan berasaskan tumbuhan termasuk berpuasa sehingga jam 11 pagi setiap hari.

The Guardian melaporkan dia turut mengambil amino kelapa, kombucha tanpa gula dan kimchi selain mempromosikan jenama makanan tambahannya, Madame Ovary dan Seedlip iaitu koktel herba tanpa alkohol.

“Saya menjalani sauna infra merah secara kerap yang boleh untuk pulih,” katanya.

Paltrow mendakwa, terdapat bukti terhadap keberkesanan diet yang diamalkan itu.

“Saya melakukan banyak kajian dan menemui banyak maklumat sebagai bukti terhadap apa yang diamalkan ini,” tulisnya.

Bagaimana pun, tindakannya itu mendapat teguran pengarah perubatan kebangsaan, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) England, Prof Stephen Powis yang menggesa selebriti seperti Paltrow tidak memberi maklumat salah.

“Beberapa hari lalu, saya mendapat tahu Gwyneth Paltrow mengalami kesan daripada Covid-19. Kita mengharapkan dia sembuh namun kaedah yang dicadangkannya itu bukan penyelesaian yang dilakukan di NHS.

“Kita perlu mengambil serius dan menggunakan kaedah Sains. Semua selebriti yang menggunakan media sosial mempunyai tanggungjawab masing-masing.

“Seperti juga virus, maklumat salah yang disebar akan ‘bermutasi’ serta ditokok tambah dan saya rasa YouTube dan beberapa platform media sosial lain mempunyai peluang dan tanggungjawab sebenar di sini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.