Fattah muncul dengan ‘Sinar Selawat’, bicara ‘syukur’ sebagai bapa

Fattah muncul dengan ‘Sinar Selawat’, bicara ‘syukur’ sebagai bapa

Sinar Selawat adalah simbolik penghargaan dan tanda kesyukuran Fattah Amin selepas bergelar bapa.

Fattah akui, kelahiran puteri sulungnya adalah anugerah terindah buat dia dan isteri. (Gambar Fail)

Bagi pelakon, Fattah Amin, kehadiran cahaya mata sulung, Nur Fatima Aisya adalah satu anugerah kiriman tuhan yang terindah buatnya dan isteri, Nur Fazura.

Nur Fatima Aisya yang lahir pada 2 Okt lalu adalah pelengkap kehidupan rumah tangga pasangan popular ini.

Jika sebelum ini Fattah pernah muncul dengan single kerohanian, ‘Kiriman Agung’ yang menjadi doa dan harapan semasa menantikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidupnya, kini, dia kembali dengan satu lagi single iaitu ‘Sinar Selawat’.

Sinar Selawat adalah simbolik penghargaan dan tanda kesyukuran Fattah selepas bergelar bapa.

Sekali lagi, menerusi kerjasama kedua dengan komposer terkenal Hafiz Hamidun dan lirik ditulis bersama Hafiz dan Ahmad Fedtri Yahya, Sinar Selawat menyimpan makna tersendiri buat Fattah.

“Sinar Selawat menterjemahkan rasa bersyukur saya kepada Allah SWT kerana mengurniakan zuriat buat saya dan isteri.

“Rasa ini adalah sangat indah, kelahiran Nur Fatima Aisya amat bermakna buat kami dan lebih manis bila diraikan dengan iringan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Fattah mengakui, projek istimewa kedua sempena kelahiran anak sulungnya itu begitu dekat dengan hatinya. Sepanjang proses rakaman berlangsung, hatinya begitu tersentuh dengan bait indah lirik yang digarap kemas oleh Ahmad Fedtri.

“Sebagai penulis lirik berpengalaman, nukilan Ahmad Fedtri kena dengan perasaan saya. Malah, liriknya berjaya menyelami segala yang terpendam di sudut hati saya ketika menempuh pengalaman baharu sebagai seorang bapa.

“Setiap bait lirik mempunyai makna tersendiri dan menjadi lebih indah dengan puji-pujian kepada Allah SWT serta selawat sebagai simbolik rasa syukur meraikan kehadiran zuriat pertama dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu,Hafiz sebagai komposer berkata peluang bekerjasama dengan Fattah ketika rakaman lagu Kiriman Agung banyak membantunya untuk memahami apa yang dimahukan Fattah dalam menghasilkan Sinar Selawat.

Malah, dia turut menyifatkan Fattah seorang anak seni yang sangat profesional, berdisplin dan bertanggungjawab.

Video muzik lagu Sinar Selawat yang diterbitkan oleh Universal Music Malaysia telah dilancarkan di semua platform digital.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.