
Menurut Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, kejayaan Syahmi Sazli atau nama sebenarnya Muhd Syahmi Sazli, mengutip lebih RM7 juta hasil tayangan filem pertamanya, Mael Totey The Movie adalah amat mengkagumkan.
Malah, kejayaan filem pertama arahan Mael yang menggunakan modal sendiri sebanyak RM300,000 itu, telah mengangkat namanya sebagai pengarah muda yang berjaya dalam industri perfileman negara.
“Kejayaan Syahmi adalah sesuatu yang membanggakan dan ini adalah rekod baharu buat FINAS. Sudah sampai masanya anak muda diberi peluang untuk mengetengahkan karya dan idea mereka kepada masyarakat.
Zakaria yang membuat lawatan kerja ke syarikat produksi Syahmi Syazli di Kota Bharu itu turut menekankan betapa pentingnya penghasilan filem kepada masyarakat.
“Filem memainkan peranan penting kepada masyarakat. Sekiranya gagal membentuk genre filem yang hendak dihasilkan, ia akan memudaratkan masyarakat terutamanya generasi muda.
“Filem Mael Totey The Movie memaparkan sesuatu yang berbeza apabila mengetengahkan bakat dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.
Sementara itu, Syahmi dijangka akan menghasilkan filem kedua berkonsep kekampungan pada tahun hadapan. Dia akan memulakan proses penggambaran antara bulan Mac atau April tahun hadapan.
“Filem itu akan mengambil tempoh masa yang sama seperti penghasilan Mael Totey The Movie. Saya juga akan mengekalkan pelakon istimewa seperti dalam filem sebelum ini.
“Masih belum mempunyai tajuk tetapi saya berjanji akan menghasilkan filem yang terbaik dari segi suntingan dan juga teknikal,” ujarnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]