
Majlis akad pernikahan yang berlangsung pada 13 Oktober itu hanya dihadiri keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat beliau serta jemputan seramai 30 orang, tiga jam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Menurut Noryn, perancangan awal mereka akan bernikah pada 25 Oktober ini tetapi tarikh tersebut dipercepatkan berikutan perlaksanaan PKPB di tiga lokasi iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.
Noryn berkata, dia dan suami mengambil masa kurang 24 jam untuk bernikah dan segala persiapan dilakukan dengan pantas.
Majlis diadakan di kediaman Shaik Rizal di Damansara. Di majlis tersebut, Noryn menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
“Kami mula berkenalan pada awal tahun ini sebagai rakan perniagaan tetapi tidak menyangka hubungan itu semakin rapat yang akhirnya membawa kami ke alam rumah tangga.
“Semuanya berlaku begitu cepat dan kami tidak terfikir pula untuk menjadi kekasih kerana hubungan ini memang profesional. Namun, lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal menyenangkan saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral kepada saya dalam urusan perniagaan,” ujarnya.
Menurut Noryn lagi, selepas beberapa bulan menjadi akrab akhirnya mereka sepakat untuk mengakhiri hubungan tersebut dengan ikatan perkahwinan.
Noryn yang mempunyai seorang cahaya mata hasil perkahwinannya terdahulu berharap agar rumah tangga yang dibina kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.
Noryn sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, namun berpisah pada 2018. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]