Pakar dedah mumia Tarim zaman gangsa berketurunan orang asli

Pakar dedah mumia Tarim zaman gangsa berketurunan orang asli

Orang Tarim berasal sepenuhnya dari Eurasia Utara Purba (ANE), populasi Pleistosen yang pernah tersebar luas dan lenyap kira-kira 10,000 tahun lalu.

Kajian terbaharu mendapati mereka berketurunan orang asli dan bukan pendatang Indo-Eropah ke rantau ini. (Gambar Wenying Li, Xinjiang Institute of Cultural Relics and Archaeology)

Kajian terbaharu genetik mendapati, mumia Tarim misteri di wilayah Xinjiang barat China adalah peninggalan budaya unik Zaman Gangsa yang berketurunan orang Asli dan bukan orang Indo-Eropah awal.

Ia sekali gus membatalkan andaian sejak lebih satu abad lalu bahawa asal-usul orang prasejarah Lembangan Tarim yang mayatnya terpelihara secara semulajadi oleh padang pasir, adalah berketurunan Indo-Eropah yang berhijrah ke rantau ini pada 2000 sebelum masihi.

Sebaliknya kajian terkini menunjukkan mereka adalah kumpulan yang terpencil secara genetik dan tiada kaitan dengan mana-mana manusia dari rantau berjiran.

“Mereka sangat membingungkan,” kata pengarang bersama kajian, Christina Warinner, ahli antropologi di Universiti Harvard, Massachusetts dan Institut Max Planck untuk Sains Sejarah Manusia di Jerman.

“Sejak ditemui secara tidak sengaja, mereka telah menimbulkan begitu banyak persoalan, kerana begitu banyak aspek tentang mereka adalah sama ada unik, membingungkan atau bercanggah.

“Ternyata, beberapa idea utama tentang mereka adalah tidak betul, jadi sekarang kita perlu mula melihat ke arah yang sama sekali berbeza,” katanya.

DNA yang diekstrak daripada gigi 13 mumia tertua yang dikebumikan di Xiaohe kira-kira 4,000 tahun lalu itu menunjukkan tiada percampuran genetik dengan manusia berjiran, kata pengarang bersama Choongwon Jeong, ahli genetik populasi di Universiti Kebangsaan Seoul di Korea Selatan.

Sebaliknya, orang Tarim kelihatan berasal sepenuhnya dari Eurasia Utara Purba (ANE), populasi Pleistosen yang pernah tersebar luas dan lenyap kira-kira 10,000 tahun yang lalu, selepas penghujung zaman ais yang terakhir.

Genetik ANE kini hanya bertahan secara pecahan dalam genom beberapa populasi masa kini, terutamanya dalam kalangan Orang Asli di Siberia dan Amerika, tulis penyelidik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.