Ahli arkeologi dakwa temui ‘harta’ Raja Sulaiman

Ahli arkeologi dakwa temui ‘harta’ Raja Sulaiman

Pakar arkeologi percaya tembaga adalah sumber kekayaan yang sama nilainya dengan minyak mentah pada zaman ini.

Gua-gua yang terbentuk di sekitar gurun Timna, Israel telah dilombong untuk mendapatkan sumber aslinya. (Gambar Smithsonian Channel)

Ahli arkeologi mendakwa mereka berkemungkinan telah berjaya menemui sumber kekayaan milik lagenda Raja Sulaiman.

Menerusi laporan dokumentari terbitan Saluran Smithsonian, berjudul ‘Secrets: King Solomon’s Mines, rangkaian lombong di tapak kuno di Lembah Timna, Israel dipercayai dibuka oleh hamba-hamba di bawah pemerintahan Raja Sulaiman.

Profesor Erez Ben-Yosef dari Universiti Tel Aviv menegaskan bahawa hasil dari tapak lombong tersebut berada di kemuncaknya ketika pemerintahan Sulaiman 3,000 tahun lalu.

Bagaimanapun lombong tersebut tidak dipenuhi emas atau pun perak sebaliknya tembaga. Bukti pengeluaran besar-besaran logam tersebut juga banyak ditemui.

“Bahan yang berwarna hitam ini adalah sanga. Ia adalah sisa dari relau memproses logam tersebut,” katanya sambil memegang seketul batu hitam.

“Ia adalah bukti yang sangat penting berhubung pengeluaran kuno tembaga di Timna.”

Walaupun tembaga hanya komoditi biasa pada hari ini, di era kuno ia adalah antara logam yang paling berharga di muka bumi.

Menurut Prof Ben-Yosef, tembaga pada ketika itu adalah antara sumber ekonomi terpenting, “Ia adalah industri yang paling menguntungkan.”

Dr Mohammad Najjar, dari Friends of Archaeology of Jordan menjelaskan pada zaman itu, logam tersebut sama nilainya dengan minyak mentah.

“Oleh kerana kini anda tidak dapat hidup tanpa minyak, tetapi pada ketika itu anda tidak dapat hidup tanpa tembaga,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.