Mattel lancar koleksi Barbie ‘Role Model’ inspirasi Sarah Gilbert

Mattel lancar koleksi Barbie ‘Role Model’ inspirasi Sarah Gilbert

Mattel Inc mengiktiraf petugas barisan hadapan dengan melancarkan koleksi patung Barbie dikenali sebagai "role model".

Patung Barbie yang mengambil inspirasi saintis disebalik penemuan vaksin AstraZeneca, Sarah Gilbert ditampilkan berambut panjang dan kaca mata besar berbingkai hitam. (Gambar AP)

Insan disebalik penemuan vaksin coronavirus Britain, Sarah Gilbert mungkin banyak menerima penghargaan sains di atas pencapaiannya.

Namun, kini dia berkongsi penghormatan sebaris dengan Beyonce, Marilyn Monroe dan Eleanor Rooservelt dengan terlancarnya patung Barbie versi Sarah Gilbert.

Gilbert, seorang profesor berusia 59 tahun dari Universiti Oxford dan pembangun bersama vaksin Oxford/AstraZeneca, adalah seorang daripada enam wanita barisan hadapan menentang Covid-19 yang dijadikan inspirasi bagi koleksi terbaharu patung Barbie.

Pembuat mainan Mattel Inc mengiktiraf petugas barisan hadapan dengan melancarkan koleksi patung Barbie dikenali sebagai contoh ikutan (role model).

Patung Barbie Gilbert ditampilkan dengan rambut yang panjang dan kaca mata berbingkai hitam besar, serta memakai seluar biru laut dan blaus putih.

“Ini konsep yang sangat pelik apabila patung Barbie dibuat menyerupai saya,” kata Gilbert dalam temu bual bersama Mattel.

“Saya harap ia mampu menjadikan kerjaya sains dalam kalangan gadis-gadis sebagai sesuatu yang lebih normal.”

Selain Gilbert, turut ditampilkan dalam koleksi ini adalah jururawat bilik kecemasan Amy O’Sullivan, yang merawat pesakit Covid-19 pertama di Wycoff Hospital di Brooklyn, New York; dan Audrey Cruz, seorang doktor barisan hadapan di Las Vegas yang menentang diskriminasi, menurut Mattel.

Anak patung lain termasuk Chika Stacy Oriuwa, seorang pakar psikiatri Kanada di University of Toronto yang menentang perkauman sistemik dalam penjagaan kesihatan, dan penyelidik bioperubatan Brazil, Jaqueline Goes de Jesus, yang memimpin penjujukan genom varian Covid-19 di Brazil, kata syarikat itu.

Tidak ketinggalan, patung tersebut turut mengiktiraf Kirby White, seorang doktor Australia yang mempelopori gaun pembedahan yang boleh dicuci dan digunakan semula oleh petugas barisan hadapan semasa wabak tersebut.

Gilbert memilih organisasi bukan kerajaan WISE (Women in Science & Engineering), yang komited memberi inspirasi kepada gadis-gadis untuk mempertimbangkan kerjaya dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, untuk menerima sumbangan kewangan dari pembuat mainan tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.