
Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, berkata bantuan itu turut merangkumi petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.
“Pada kesempatan ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada 20,821 penjawat awam negeri, termasuk mereka yang berkhidmat di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri,” katanya, lapor Bernama.
“Kami harap bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, di samping menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kemajuan negeri serta kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.”
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, Bantuan Khas Aidilfitri berjumlah RM5,490,100 disalurkan kepada 54,901 petugas barisan hadapan di negeri itu sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.
Katanya, penerima bantuan terdiri 12,982 anggota polis; 8,978 anggota tentera; 1,335 anggota bomba; 1,144 anggota Angkatan Pertahanan Awam; 3,529 petugas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar; serta 26,933 doktor dan jururawat.
Katanya, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi turut memperuntukkan RM18.477 juta sebagai bantuan kepada 90,439 penerima asnaf fakir dan miskin.
“Bantuan ini mula disalurkan pada awal Mac dan dijangka selesai pada minggu terakhir sebelum Aidilfitri, sementara RM1.5 juta pula kepada 5,000 saudara kita dan Orang Asli daripada asnaf mualaf.
“Bantuan sekali bayar RM500 akan disalurkan kepada 6,970 imam dan bilal pada minggu terakhir bulan ini membabitkan peruntukan RM3.4 juta, serta bantuan RM500 kepada 646 ketua kampung.”
Selain itu, Onn Hafiz berkata bantuan sekali bayar RM500 disalurkan masing-masing kepada 43 Batin Orang Asli dan 26 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli serta RM100 kepada 1,201 Anak Angkat Makmur Johor.
“Di samping itu, bagi memastikan mahasiswa anak Johor dapat pulang beraya bersama keluarga, kita memperuntukkan RM70,000 bagi Tajaan Pengangkutan Mahasiswa Anak Johor Pulang ke Kampung dengan menyediakan 30 bas untuk membawa 550 mahasiswa,” katanya.
“Seterusnya, bagi meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan Aidilfitri, kita memperuntukkan RM1.6 juta untuk Jualan Kasih Johor yang berlangsung di 57 lokasi bermula 22 hingga 29 Mac, yang memberi manfaat kepada 200,000 pengunjung dan menyokong lebih 300 usahawan tempatan.”
Selain itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM787,050 bagi inisiatif bakul makanan sempena Aidilfitri yang akan diagihkan kepada 15 projek perumahan rakyat (PPR) dan tujuh rumah sewa kerajaan (RSK), yang memanfaatkan 15,741 penerima.